suria

Waheeda: Sukar cari suara seperti Ustaz Asri

"Rasa sangat tenang bila bercakap dengan dia apatah lagi arwah adalah seorang yang suka tersenyum," - Waheeda
"Rasa sangat tenang bila bercakap dengan dia apatah lagi arwah adalah seorang yang suka tersenyum," - Waheeda

PEMERGIAN vokalis kumpulan nasyid Rabbani, Ustaz Mohd Asri Ibrahim ke Rahmatullah pagi semalam, akibat serangan jantung nyata mengejutkan penggiat-penggiat seni tempatan.

Kehilangannya bukan saja dirasai oleh ahli keluarga, saudara-mara, rakan-rakan dan para peminatnya, namun ia turut meninggalkan impak buat rakan-rakan artis yang banyak bekerjasama dengannya selama ini.

Tidak ketinggalan penyanyi yang popular dengan lagu Wassini, Waheeda yang akui cukup terkejut tatkala mendapat perkhabaran tentang kematian Allahyarham.

Bagi penyanyi berusia 30 tahun ini, banyak memori yang masih tersimpan kemas di dalam kotak fikirannya tentang Allahyarham.

"Sejak saya mula terbabit di dalam bidang seni kira-kira tujuh tahun lalu, arwah dan ahli-ahli Rabbani yang lain adalah antara rakan artis terawal yang saya kenal.

"Rasa sangat tenang bila bercakap dengan dia apatah lagi arwah adalah seorang yang suka tersenyum.

"Saya sudah menganggapnya sebagai seorang abang. Jika orang yang tidak mengenali arwah, pasti merasakan dia seorang yang serius. Tetapi, sebenarnya dia suka mengusik dan memang kelakar," kata Waheeda, dalam nada perlahan.

Menurutnya, secara peribadi, selain mengagumi peribadi Asri, dia juga merasakan kelunakan suara arwah sememangnya sukar ditandingi.

"Sama ada menyanyi atau bertakbir sekali pun, suaranya memang hebat. Sukar untuk mencari orang yang seperti ini. Tapi, ajal maut di tangan tuhan...akhirnya kita akan kembali kepada-Nya," tutur Waheeda.

Ujarnya lagi, walaupun dia mungkin tidak begitu rapat dengan Allahyarham, namun, dia akui, arwah adalah seorang yang mesra dengan sesiapa saja.

"Apa saja majlis yang mereka (Rabbani) buat, pasti saya dan rakan-rakan nasyid lain turut dijemput. Kali terakhir saya bertemu dengan arwah adalah ketika sama-sama buat persembahan di Tanjung Bidara," katanya.

Artikel Lain