suria

Astro siar lebih 173 jam program baru sepanjang bulan Ramadhan

Barisan pelakon drama 'Cinta Sempurna'.
Barisan pelakon drama 'Cinta Sempurna'.
Barisan pelakon drama 'Cinta Sempurna'.

DRAMA bersiri seperti ‘Cinta Sempurna’, ‘Wadi Unung’ dan ‘Qalesya’ di dua saluran Astro bakal membuatkan ramai penonton tidak akan melepaskan peluang untuk menontonnya kerana ketiga-tiga drama ini menjanjikan jalan cerita yang menarik dan dramatik.

Drama-drama bersiri yang bakal bersiaran di saluran-saluran terpilih di Astro juga menjadi tambah hebat apabila dibintangi oleh nama-nama besar dalam arena hiburan tanah air, jalan cerita yang padat dan menghiburkan serta kualiti produksi yang bermutu tinggi sepanjang bulan puasa ini.

Antara ketiga-tiganya, drama 20 episod Qalesya yang paling mencuit hati kerana penonton tidak akan henti bergelak ketawa dengan telatah pelakon kanak-kanak selaku pelakon utama iaitu Muhamad Budiman sebagai Muhammad, Nurul Elfira Loy (Qalesya), Amirul Aiman (Sadat), Hazahatul Qhuraisha (Comel) dan Ahmad Zaidyansjah (Mustafa).

Drama yang disiarkan mulai 24 Ogos ini, setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 5.30 petang itu mengisahkan Muhammad yang datang dari keluarga yang kaya begitu meminati muzik.

Malangnya, keluarga Muhammad tidak begitu mempraktikkan kehidupan cara Islam dalam seharian mereka.

Muhammad bercita-cita untuk menjadi bintang rock yang terkenal. Keluarganya juga menggalakkan dia dalam bidang itu tetapi Muhammad mahu mengecapinya dalam sekelip mata yang menyebabkan dia gagal dalam persekolahannya.

Kegagalan ini yang menyebabkan ibu bapanya bercadang untuk menghantarnya ke sekolah agama dalam usaha untuk mengubah Muhammad dalam seminggu dua.

Sementara Qalesya pula datang dari keluarga yang miskin. Oleh itu dia terpaksa berhenti sekolah.

Apabila ibu bapanya mengetahui yang terdapat sekolah asrama yang sanggup mengambil pelajar yang tidak berkemampuan lalu mengambil peluang tersebut.

Qalesya begitu gembira kerana dapat bersekolah semula. Dengan harapan agar dapat memberi kehidupan yang lebih sempurna untuk keluarganya.

Pertemuan Qalesya dengan Muhammad menyebabkan mereka mula berkawan.

Kawan baik Qalesya ialah Comel yang juga sama-sama di sekolah asrama tersebut. Comel seorang budak yang gemuk dan juga kuat makan tetapi seorang yang baik hati dan penyayang.

Manakala Sadat pula seorang samseng kampung seperti bapanya. Disebabkan takut anaknya akan mengikut jejak bapanya yang juga samseng kampung ibunya Sadat telah menghantar Sadat ke sekolah agama juga.

Mustafa pula bercita-cita ingin menjadi ustaz. Ilmu agamanya melayakkan dirinya menjadi ustaz tetapi perseonaliti dan tutur katanya tidak mencerminkan dirinya seorag ustaz kerana dia seorang yang bongkak dan suka membangga diri.

Sementara telefilem-telefilem yang disiapkan khas untuk tayangan di sepanjang bulan puasa juga bakal bersiaran secara berselang-seli bagi kepuasan penonton.

Di antara tajuk-tajuk yang bakal menanti para penonton adalah ‘Kristal Hitam, ‘Kemboja’, ‘Sebuah Keranda Kayu’, ‘Ulat-Ulat Cinta’ dan ‘Paku Di Dinding Hati’.

Istimewa pada bulan puasa kali ini juga, Astro Oasis akan menyiarkan sebuah dokumentari hebat berjudul ‘Madrasah Salasiah Rasulullah’.

Menurut Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah, “Kami telah membuat persiapan rapi bagi menyambut ketibaan bulan yang mulia ini dengan menghadiahkan lebih 173 jam serta 16 tajuk program baru di sepanjang bulan Ramadhan di saluran-saluran terpilih kami.

“Selain dari mempersembahkan program-program berunsur hiburan yang berkualiti tinggi, kami tidak ketinggalan untuk menyiarkan program-program yang yang mempunyai pengisian nilai-nilai kerohanian dan suntikan elemen-elemen pengajaran dan pendidikan dalam setiap rancangan yang dipertontonkan seperti rancangan-rancangan dokumentari istimewa di Astro Oasis.

“Bukan itu sahaja, kami juga berasa amat bertuah keran dapat berkongsi keseeonokan beribadah di sepanjang bulan Ramadhan kelak apabila akan menyiarkan solat sunat Terawih secara langsung dari Masjid Nabawi, Madinah.

“Bacaan Tadarus Al-Quran yang bakal dibacakan oleh ikon-ikon dari Astro Oasis juga bakal dikongsi bersama penonton pada setiap hari.”

Artikel Berikut

Artikel Lain