suria

Erra sedia lepas gelaran primadona filem Melayu

Kehadiran Erra menyerikan majlis pelancaran set televisyen LDC TV - The Cinema 21:9. -foto MSTAR oleh AU YEONG HOW
Kehadiran Erra menyerikan majlis pelancaran set televisyen LDC TV - The Cinema 21:9. -foto MSTAR oleh AU YEONG HOW
Kehadiran Erra menyerikan majlis pelancaran set televisyen LDC TV - The Cinema 21:9. -foto MSTAR oleh AU YEONG HOW

SEANDAINYA syurga itu berupa muka bumi, terbentang luas di hadapan mata, maka tidak keterlaluan andainya Erra Fazira atau Fazira binti Wan Chek kelihatan persis jelmaan seorang 'dewi' kerana jelitanya bagaikan bidadari.

Mata tidak terkelip memandang keayuan wajah Erra. Kejelitaan yang dimiliki ditambah pula bakat besar yang ada, menjadikan bekas Ratu Cantik Malaysia (1992) ini menjadi rebutan para penerbit filem untuk membintangi filem mereka.

Kejelitaan wajah Erra Fazira di layar perak adalah seayu orangnya di dalam skrip kehidupan sebenar selebriti versatil ini.

Rekod membuktikan apa-apa skrip filem yang membariskan Erra sebagai pelakonnya setakat ini kesemuanya mencapai tahap box-office iaitu hasil tiketnya meraih jutaan ringgit!

Antara filem hebat lakonan Erra termasuk filem 'Sembilu', 'Maria Mariana', 'Pasrah', dan 'Mr Cinderella sehingga beliau digelar sebagai primadona filem Melayu.

Setelah berkecimpung dalam dunia hiburan selama 15 tahun, Erra berasa sudah sampai masanya bagi generasi pelakon baru mengambil alih gelaran tersebut.

"Awalnya, gelaran primadona itu diberikan oleh para wartawan. Maka, saya menerima kenyataan sekiranya rakan-rakan wartawan mengambil balik takhta itu dan memberikan takhta itu kepada orang lain. "Bagi saya, apa yang lebih penting ialah industri (perfileman) kita berkembang baik dan sihat... it's okay," kata Erra ketika ditemui semasa pelancaran set televisyen bersaiz 21:9 jenis Philips di Hotel J.W. Marriot, Kuala Lumpur semalam.

Beliau diminta mengulas sama ada bersedia melepaskan gelaran primadona filem Melayu yang dipegangnya. Hingga kini, gelaran primadona filem Melayu masih menjadi milik Erra.

Menurut Erra, beliau tidak melihat pelakon baru ini sebagai pesaingnya. "Saya tidak lihat mereka sebagai saingan saya....saya lihat mereka lebih sebagai (kelahiran) generasi baru," ujarnya yang juga model dan penyanyi.

Jelas ibu kepada Engku Aleesya Engku Emran ini, soal kesanggupan dia "melepaskan" takhta primadona filem Melayu itu bukan perkara pokoknya.

"Saya boleh terima hakikat ini. Hakikatnya ini adalah roda kehidupan. Jika kita berpersepsi sedemikian, kita dapat menerimanya. Jadi, tak ada masalahlah. Yang penting, kita perlu ada pelapis," kata Erra.

Malah Erra telah menyemai kesedaran tersebut sejak awal pembabitannya dalam dunia hiburan. Bagi pelakon Putih (Filem Animasi 2001), gelaran, anugerah dan lain-lain adalah bersifat sementara. Erra lebih menitikberatkan kehidupan ini biar berwarna-warni.

Menurut Erra, dia lebih takut apabila industri perfileman negara tidak mengeluarkan pelakon pelapis dan wajah-wajah baru untuk menghiasi layar perak.

"Dulu, sampai satu tahap, asyik muka Erra Fazira sahaja, naik muntahkan? Sekarang ramai sangat hingga tidak boleh jangka siapa yang boleh pergi jauh.. Jika anda tanya saya sesiapa pelakon yang lebih menonjol, agak sukar untuk saya memberikan jawapan.

"Sekarang, saya gembira kerana semakin ramai pelakon dilahirkan," ujar Erra sambil menambah dia tertarik dengan bakat lakonan Nabila Amy Search dan Noor Khiriah.

Erra turut berkata, Maya Karin adalah antara pelakon yang telah mencapai satu tahap yang membanggakan dan boleh pergi lebih jauh lagi.

Sementara itu, Erra memberitahu, dia julung kali akan memegang watak orang jahat dalam drama bersiri "Kasih Tercipta" sebanyak 26 episod dan ini memberi peluangnya untuk mengembangkan bakat lakonan. Biarpun sudah bergelar ibu, Erra tetap gigih memperbaiki mutu dan skil lakonannya. Mungkin itulah sebabnya dia masih bergelar primadona filem Melayu sehingga hari ini.

Erra telah meletakkan satu penanda aras tinggi kepada mereka yang ingin merampas takhta tersebut. Walaupun Erra sudah bersedia melepaskan 'takhta' miliknya, hakikatnya primadona filem Melayu ini masih sukar digugat popularitinya.

Artikel Lain