suria

Konsert Eksklusif ‘SATU’ Siti tiada tanding taranya!

KONSERT Eksklusif 'SATU' Datuk Siti Nurhaliza baru-baru ini penuh dengan jiwa.

Luahan rasa yang disampaikan oleh penyanyi tersohor negara ini menerusi lebih 30 buah lagu medley dapat dirasakan oleh penonton dengan bantuan visual, kesan bunyi dan props.

Boleh dikatakan semua lagu yang dinyanyikan menunjukkan pelbagai rasa- marah, sedih, keliru dan gembira.

Siti pandai mengekspresikan wajahnya mengikut alunan dan mood lagu dengan bantuan muzik tradisional, 'live band' dan 'strings' di bawah pimpinan Pengarah Muzik Aubrey Suwito.

Konsep pentas yang disusun begitu cantik dan indah sekali mampu menarik minat penonton untuk tidak berganjak dari kerusi masing-masing agar mereka tidak terlepas sedikitpun biarpun acara selingan.

Acara selingan yang dimaksudkan adalah acara pemuzik menunjukkan kehebatan mereka bermain alat muzik seperti gendang, drum, biola termasuk tarian.

Siti membahagikan persembahannya dengan pelbagai segmen sepanjang dua jam 10 minit itu.

Antaranya adalah segmen medley lagu tradisional terbaik daripada Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah, medley balada dan medley rancak.

Siti begitu pandai menyusun lagu dengan bantuan pengarah konsert dan koreografer terkenal Pat Ibrahim dan penyelaras konsert, kakak ipar dan pengurus Siti, Rozie Abd Razak.

Segmen lagu yang menaikkan nama Siti dalam industri diadunkan menerusi lagu ‘Jerat Percintaan’, ‘Purnama Merindu’, ‘Bukan Cinta Biasa’ dan ‘Cinta Ini’.

Seterusnya lagu tradisional di mana Siti berkata dia mendapat didikan daripada arwah abahnya, Tarudin Ismail dan ibu Siti Salmah Bachik serta komposer atau digelar 'Bapa Irama Malaysia', Pak Ngah dengan nyanyian lagu ‘Cindai’, ‘Balkis’ dan ‘Bulan Yang Mesra’.

Visual kilat dan api yang membara mengambil alih pentas menceritakan tentang pergolakan atau gosip yang melanda diri Siti.

Selepas itu, lagu balada seperti ‘Pendirianku’ dinyanyikan ala-ala konsep 80-an dan retro turut memukau penonton, diserikan lagi dengan lagu ‘Pada CintaNya’ dan ‘Ku Mahu’ yang menjadi lagu tema drama bersiri ‘Spa Q’.

Medley Balada 1 pula mengiringi konsert itu dengan penyampaian lagu ‘Bisakah’ yang merungkai episod melankolik yang melanda diri Siti yang dinyanyikan dalam nada marah dan geram, diikuti dengan lagu ‘Dialah Di Hati’ yang meredakan semula nada amarah tadi.

Siti turut menghidangkan penonton dengan lagu-lagu yang menggambarkan dirinya sedang dilamun cinta seperti lagu ‘Mulanya Cinta’ dengan iringan muzik erhu, termasuk lagu ‘Debaran Cinta’, ‘Ku Milikmu’, ‘Wanita’, ‘Bila Harus Memilih’, ‘Cuba Untuk Mengerti’ dan ‘Biarlah Rahsia’.

Lagu yang menunjukkan permulaan hubungan Siti dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu cuba disampaikan oleh Siti dengan penuh mendalam di mana dia berkata:

“Sebagai manusia, kita kena membuat keputusan yang kadangkalanya disukai atau tidak. Selagi berpandu pada petunjuk dan yakin dengan apa yang diingini dan mengikut jalan yang diinginkan, saya akan buat keputusan berdasarkan media dan peminat.

“Apa yang dilalui, Siti terima dengan terbuka dan redha dan mengambil keputusan orang yang saya sayang dan baik seperti Datuk K yang juga menyayangi saya dengan baik.”

Seterusnya, Siti mempersembahkan lagu yang dicipta olehnya dengan luahan rasa cinta terhadap suaminya, ‘Cahaya Cinta’.

Selepas itu, lagu ‘Siti Situ Sana Sini’, ‘Destinasi Cinta’ dengan koreografi yang menarik dan disukai penonton sebelum mengakhiri persembahan dengan lagu terbarunya, ‘Di Taman Teman’.

Setiap persembahan Siti sentiasa mendapat tepukan gemuruh daripada penonton dan tidak membosankan dengan pengisian lagu-lagu yang menyedapkan halwa telinga.

Artikel Lain