suria

Rambang mata tonton sajian menarik bulan Ramadhan di saluran Media Prima

MENJELANG bulan Ramadhan dan Syawal ini, para penonton TV3, ntv7, TV9 dan 8TV pastinya rambang mata memilih saluran mana yang ingin ditonton.

Maklumlah pemilik saluran-saluran televisyen tersebut Rangkaian Televisyen Media Prima (RTMP) menjanjikan pelbagai program menarik pada Ogos ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif RTMP, Datuk Seri Farid Ridzuan berkata, sambutan Hari Raya akan kehilangan serinya tanpa program-program istimewa dan terkini.

Katanya, ini termasuk persembahan muzikal, filem-filem Raya, telefilem, majalah, muzikal, sitkom dan program animasi.

"Kami telah menyediakan program-program menarik dari luar dan dalam negara, termasuklah yang diterbitkan sendiri oleh produksi kami.

"Kami juga telah menyusun jadual yang terbaik agar tiada pertembungan waktu siaran dan tidak menimbulkan kekeliruan kepada semua penonton berikutan kami banyak menerima maklum balas dari penonton berkenaan waktu penyiaran yang sentiasa bertembung.

"Ini bagi mengimbangi jumlah penonton bagi setiap rangkaian stesen kami pada minggu Aidilfitri," katanya pada sidang media selepas Rumah Terbuka "Media Prima TV Networks Raya Screenings 2009" bertempat di Sunway Hotel & Spa di Petaling Jaya, kelmarin.

Bagi Farid, kegawatan ekonomi yang melanda dunia tidak sepatutnya menyuramkan sambutan perayaan Hari Raya tahun ini.

"Di samping menawarkan kos efektif kepada pelanggan dan tahap pencapaian yang optima, matlamat kami adalah untuk menyediakan "ubat bagi kedukaan" dan program TV yang menarik sesuai untuk semua penonton setia kami," tambah Datuk Sri Farid.

Katanya, menerusi TV3 dan TV9, program-program yang sesuai sepanjang bulan Ramadhan ialah program Jejak Rasul musim ke-15 yang telah memenangi anugerah dokumentari terbaik, Al-Risaalah, Ayat-ayat Cinta, Jelajah Ramadhan dan Kalamullah.

Lain-lain program menarik, katanya, ialah Bazaar Ramadhan, rancangan-rancangan memasak, Jom Berbuka Puasa dan Singgah Sahur.

Untuk mereka yang terlepas menonton filem-filem Blockbuster di pawagam, duduk sahaja di rumah kerana banyak filem dan drama menarik menanti anda seperti Duyung, Cicak Man 2, Sifu & Tongga, Ceplos dan Baju Raya Istimewa.

Mereka yang meminati rancangan berbentuk Majalah & Dokumentari di TV3 dan TV boleh memilih rancangan Raya Terapung, Landasan Raya dan Ketupat Rendang Kopi O.

Kanak-kanak pula bergelak ketawa menonton sitkom-sitkom pilihan dan rancangan hiburan seperti Dedikasi Lebaran, Sampaikan Raya, Kecoh Petang Raya, Bagus Sangat Ke, Studio Nabil Di Perth dan Suatu Hari Di Hari Raya.

Selain itu, ntv7 dengan taglinenya, "Saluran Ceria Anda" akan menyajikan pelbagai rancangan unik untuk menceriakan penontonnya dengan 1...2... Jus!, Raya Special, Lebaran Special, Editor's Time Raya Special, e7 Raya Special dan I'm Muslim too.

Lain-lain program menarik termasuk Resident Evil: Apocalypse, Alexander, Breaking The Magicians Code, Nobita and the Tin Labyrinth, Sounds of Style 2008 dan The Hong Kong Film Awards.

Penggemar rancangan-rancangan yang penuh aksi dan berunsur hiburan, tentu seronok dengan sajian: The 2009 MTV Movie Awards, Rock Band Battle, Ho Chak! Raya Special, Rock Raya with Quickie, New Police Story (Jackie Chan) dan I'm a Cyborg, But That's Ok (superstar terbaru Korean, Rain).

Artikel Lain