suria

Tak cukup rehearsal 'cemar' Konsert Untukmu Sudirman

Pelakon Que Haidar ibarat pencerita dalam Konsert Untukmu Sudirman baru-baru ini. -foto Utusan
Pelakon Que Haidar ibarat pencerita dalam Konsert Untukmu Sudirman baru-baru ini. -foto Utusan
Pelakon Que Haidar ibarat pencerita dalam Konsert Untukmu Sudirman baru-baru ini. -foto Utusan

RAMAI yang tidak berpuas hati dengan persembahan malam pertama Konsert Untukmu Sudirman pada 4 Jun lalu di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Konsert itu dibawakan oleh Bintang Emas Pictures (M) Sdn. Bhd, Kerajaan Negeri Pahang, Sinar FM dan Istana Budaya.

Imej konsert yang membawa nama besar Allahyarham Sudirman Arshad tercemar dek kerana kesilapan ketara yang dilakukan oleh segelintir artis.

Antaranya masalah tidak hafal lirik lagu popular Sudirman.

Ketika Kaza berduet dengan Achong Sweet Child, mereka tidak mengingati sesetengah lirik sehingga terpaksa menyelak buku lirik dan sekaligus mengganggu kelancaran persembahan mereka.

Mereka berduet empat buah lagu antaranya Bila Wajahmu Aku Bayangkan, Anak Gembala dan Basikal Tua.

Begitu juga dengan penyanyi berketurunan India yang dikenali sebagai MK terpaksa membawa secebis kertas yang mengandungi lirik.

MK pula berduet dengan Kelvin Lau menerusi lagu Chow Kit Road, Warisan dan Punch Card.

Selain itu masalah teknikal lain seperti asap yang disembur atas pentas membuatkan salah seorang penyanyi, Andy Flop Poppy hampir semput.

Andy pula menyanyikan lima buah lagu antaranya Pelangi Petang dan Apa Khabar Orang Kampung.

Jelas Eja mewakili pihak penganjur, masalah itu berlaku disebabkan tidak cukup 'rehearsal' di pentas.

"Muzik dah rehearsal dulu dan artis juga rehearsal sendiri.

"Saya tak boleh cakap apa sebab kita dah beri lagu kepada mereka.

"Kadangkala mereka tak cuba sedaya upaya untuk ingat lagu yang banyak walaupun semuanya dinyanyi secara medley.

"Selain itu masalah teknikal turut berlaku apabila tempoh masa yang terhad," jelas Eja Ibrahim sejurus selepas konsert itu.

Mujurlah konsert yang berlangsung pada 4 hingga 6 Jun itu diselamatkan oleh penyanyi bervokal hebat seperti Adibah Noor, Rahim Maarof, Iqwal dan Haziq.

Adibah dianggap sebagai 'penyelamat' konsert dengan nyanyian merdunya menerusi lagu Bercanda Di Pasiran Pantai secara duet dengan Kaza, lagu Hujan dan tiga buah lagu lagi.

Iqwal pula menunjukkan persembahan mantap dan bertenaga menerusi lagu Balik Kampung, Toyol, Hooray Hooray dan Gerimis Di Lautan.

Haziq yang terkenal dengan lagu irama Malaysia itu tampil dengan enam buah lagu seperti Sri Langkat, Berdendang Anak Dara, Anak Dagang dan Penyu Menangis.

Sementara, Rahim Maarof membuatkan ramai yang menitiskan air mata semasa dia mendendangkan lagu Dir.

Selain itu, persembahan artis lain seperti Mila dan Atilia turut mewarnai konsert yang disertai oleh aktor Que Haidar sebagai pencerita.

Kakak Sudirman terhibur

Konsert itu turut dihadiri oleh kakak arwah iaitu Datin Rodziah Arshad.

Ditanya komennya tentang konsert ini, Rodziah berkata dia betul-betul menumpukan perhatian terhadap semua persembahan.

"Saya tidak terfikir langsung tentang persembahan mana yang paling membuatkan saya tersentuh kerana semasa saya menumpukan perhatian, tiba-tiba ada air mata yang keluar dan kadangkala saya tergelak seorang.

"Saya betul-betul concentrate," katanya.

Kesempatan bertemu dengannya turut digunakan untuk bertanyakan tentang wanita Belanda, Annalizza yang mendakwa dirinya pernah termimpikan arwah.

"Saya masih berhubung dengan Annalizza menerusi emel.

"Sebelum dia pulang ke sana, dia ada memberikan 100 euro iaitu dalam RM500 untuk didermakan kepada rumah anak yatim yang betul-betul memerlukan wang. Duit itu masih ada dengan saya dan saya belum berikan lagi," akhirinya.

Annalizza pernah datang ke Malaysia untuk menziarahi pusara arwah Sudirman dan muncul di majlis tahlil sempena ulang tahun pemergian arwah pada 22 Februari 1992 di Petaling Jaya.

Artikel Lain