suria

Saiful Apek: Jadi pelakon komedi macam chef juga!

Saiful Apek ialah Azrul dan Azlan dalam filem 4 Madu.
Saiful Apek ialah Azrul dan Azlan dalam filem 4 Madu.
Saiful Apek ialah Azrul dan Azlan dalam filem 4 Madu.

ANDA mungkin tidak percaya Mohd Saifulazam b. Mohammad Yusoff atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek beristeri sehingga lapan orang. Apakah daya tarikan pada "Casanova" ini?

Diandaikan Apek mengamalkan poligami, bukankah sekadar empat isteri pada satu-satu masa?

Rupa-rupanya, Apek memegang dua watak, iaitu Azrul dan Azlan pada masa yang sama dalam filem 4 Madu arahan Profesor Madya A. Razak Mohaideen.

Kedua-dua watak tersebut adalah adik-beradik kembar yang terpisah sejak kecil lagi. Mereka hanya ditemukan di pejabat guaman apabila ayah mereka meninggal wasiat berjumlah RM50 juta untuk mereka.

Bagaimanapun, syarat utamanya adalah kedua-dua mereka perlu mengahwini empat isteri masing-masing.

"Lapan orang isteri? Tidaklah... Inilah yang orang keliru. Setiap kali saya berkahwin, semua (dilafazkan) dalam wayang. Yang betul-betul, tiada (lapan isteri).

"Seeing is believing. Wartawan-wartawan yang sekali dengan saya ke Bali itu tahulah. Spekulasi ini yang selalu mereka dengar sepatutnya bukan apa tetapi berdoa agar saya dan isteri okey. Kami memang okey lagi. Tak ada masalah pun.

"Kalau ada masalah, pejabat gaji dah announce dulu. Mana boleh lari daripada perkara sebegini jika benar. Saya masih dengan isteri dan dua anak-anak saya," katanya ketika ditemui di majlis doa selamat filem 4 Madu dan bacaan skrip oleh artis-artis filem tersebut di pejabat LineClear Motion Pictures, Shah Alam, Jumaat lalu.

Beliau diminta mengulas status sebenarnya sama ada duda, bujang ataupun telah berkahwin kerana perkara tersebut telah dispekulasikan sehingga menjadi tanda tanya.

"Saya rasa sebelum ini, dua bulan lalu, saya percaya ada keluar tiga muka surat di akhbar, gambar saya bercuti dengan famili termasuk isteri saya.

"Jadi, saya harap liputan media sedemikian dapat memberhentikan spekulasi benda yang bukan-bukan seperti itu lagi. Saya masih beristeri. Status saya masih seorang suami. Kami masih tinggal sebumbung dan masih beristeri yang sama," tambahnya.

Soalan cepu emas menyusul: Adakah dia akan mengamalkan poligami selepas ini? Sambil ketawa terbahak-bahak, Apek menjawab bahawa secara realitinya, tidak perlu.

Sebabnya, katanya, beliau telah mempraktiskan poligami sebanyak dua kali dalam filem terbitan bersama LineClear Motion Pictures, Grand Brilliance dan Berjaya Film itu.

"Orang lain mungkin terfikirlah, saya tidak ada," katanya sambil menyatakan dua anak lelakinya telah pun berusia 14 tahun dan 11 tahun kini.

Sementara itu, Apek memberitahu, pembawaan dua watak dalam satu filem kali ini lebih sukar kerana dua watak utama tersebut (Azrul dan Azlan) menggunakan tempoh lakonan yang hampir sama dan lama.

"Kali ini lebih heavy (berat) sebab dulu, bawa dua watak dalam masa yang singkat sahaja. Sekejap jadi perempuan kemudian jadi lelaki. Sekejap jadi bapa dan anak. Kali ini boleh katakan evenly-lah," kata pelakon utama Cicakman ini.

Untuk menyuntik kesegaran, kata Apek, dia telah membuat kerja rumah ataupun penyelidikan terlebih dahulu agar dapat menjiwai watak-watak yang dibawanya.

"Saya ingin cuba mengelakkan penonton mengatakan Apek hanya tahu membawa watak lawak tertentu. Bagi pendapat saya, penekanan itu lebih kepada sutradara.

"Saya serahkan perkara kepada Profesor untuk monitor supaya ia tidak menjadi sesuatu yang berulang-kali atau expected (dapat dijangkakan)," jelasnya.

Sesungguhnya, Apek mengakui dirinya mendambakan watak yang berlainan. "Memamg dah banyak komedi Apek lakonkan. Yalah... menjadi pelakon komedi ini macamlah jadi chef juga. Kadangkala bila orang dah suka sangat dengan masakan itu, orang tak nak tukar langsung.

"Kalau kita bagi resipi baru pun, mereka akan rasa dah out of the pattern dah. Benda itu saya belajar apabila saya tengok Cicakman. Itulah yang saya inginkan. Hero itu menjadi something to be remembered.

"Tetapi hasilnya bila tengok Cicakman 1 yang saya lebih gila-gila itu, orang tak suka dan meminta Apek cuba ringankan sedikit komedinya.

"Hasilnya graf Cicakman 2 agak menurun. Orang kata Apek dah tak gila macam dulu lagi dah...Benda ini subjektif sangatlah," katanya sambil menambah ia mungkin berpunca daripada pertukaran watak.

Ditanya sama ada lakonannya itu dapat menarik penonton komedi, Apek yakin dapat berbuat demikian dengan bersandarkan kepada pengarahan Profesor A. Razak serta semangat berpasukan oleh artis-artis.

Menurutnya, jika diturutkan semasa ditawarkan berlakon dalam filem 4Madu tersebut, dia sepatutnya bergandingan dengan Nabil.

"Bersebabkan kesibukannya (Nabil) juga, saya sekali lagi diberikan kepercayaan untuk membawa dua tanggungjawab," katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Apek sibuk dengan produksti dan portalnya www.saifulapek.com.my . Jelas Apek, portal tersebut adalah lebih lengkap sebab pelayarnya boleh berinteraksi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), emel dan chatting room.

Malah katanya, mereka boleh membeli barang dagangan dengan menggunakan SMS dan sistem kupon sebagaimana yang dibuat dalam laman kru.com.my .

"Sekarang saya dah "lock" masa saya. Selalunya selepas tengah malam, kita bagi tempoh masa dua jam iaitu dari 12 tengah malam hingga 2 pagi untuk menguruskan laman tersebut," katanya.

Menurut Apek, laman tersebut buat masa ini menyasarkan golongan pelajar dan penuntut kolej ataupun mereka dalam lingkungan umur tersebut.

Mengenai status penayangan filem pertama arahannya, "Shh... Dia Datang", pelawak tersohor itu berkata, filem terbitan Noradz Production Sdn Bhd itu barangkali akan ditayangkan pada bulan Disember ini, sempena cuti sekolah.

"Produser sendiri pun sibuk. Jadi, tersangkut-sangkut di situlah. Kecewa juga tetapi pada masa yang sama, tak nak terlalu ghairah untuk mengambil risiko tersebut, nak cepat-cepat keluarkan.

"Mungkin ada rahmat juga kenapa ia ditunda sedikit. Orang akan bercakap tentang perkara itu, dan orang akan mempromosi filem itu lebih awal," katanya.

Tambahnya, filem tersebut telah siap pada Disember tahun lalu.

Artikel Lain