suria

Catriona buat majlis nikah tertutup tanpa media

Cat bersama bakal suaminya, Shaharuddin semasa majlis pertunangan mereka tanggal 4 Oktober lalu.
Cat bersama bakal suaminya, Shaharuddin semasa majlis pertunangan mereka tanggal 4 Oktober lalu.
Cat bersama bakal suaminya, Shaharuddin semasa majlis pertunangan mereka tanggal 4 Oktober lalu.

SELEPAS lapan bulan bergelar tunang kepada Shaharuddin Mokhtaruddin, 30, aktres Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, 29, bakal bernikah pada 26 Jun ini.

Catriona atau mesra dengan panggilan Cat ini mengikat tali pertunangan dengan penerbit program TV di Astro itu pada Oktober tahun lalu.

Cat berkata, dia tertarik dengan ciri-ciri yang dimiliki Shaharuddin antaranya sentiasa memberi kata-kata semangat untuk terus bangun daripada trauma akibat kemalangan ngeri yang dialaminya pada April 2007.

Nada suara Cat menunjukkan keceriaannya ketika bercerita mengenai hari bahagianya yang tinggal tiga minggu lagi itu.

“Majlis nikah saya pada 26 Jun ini di Kota Bharu akan berlangsung secara ‘private’ atas permintaan keluarga saya. Jadi, saya akan mengirimkan gambar kepada pihak media nanti.

“Selang sehari selepas kami dinikahkan, majlis persandingan akan berlangsung secara sederhana di rumah keluarga saya di Taman Teluk Baru, Kota Bharu bermula pukul 12 tengahari hingga lewat petang.

“Majlis persandingan kami bertemakan klasik dengan kombinasi ‘east meet west’ dan warna tema hijau dan maroon kerana bapa saya berketurunan Scottish,” kata Cat ketika dihubungi semalam.

Jelas pelakon drama bersiri Sephia ini, dia memilih untuk melakukan majlis resepsi di rumah kerana ibunya inginkan suasana perkahwinan tanpa protokol.

Majlis itu akan dihadiri oleh 1,500 orang tetamu yang kebanyakannya merupakan kaum keluarga, sanak saudara, orang kampung yang keluarganya kenali dan rakan terdekat termasuk pihak media.

Menyentuh tentang persiapan perkahwinan pula, Cat berkata boleh dikatakan sudah 100 peratus persiapan yang telah disiapkan.

“Hantaran, pakaian, ‘door gift’ dan persiapan lain telah disiapkan secara beramai-ramai.

“Antara 11 hantaran yang akan saya berikan kepada pihak lelaki adalah cermin mata, dua persalinan pakaian kerja, ‘sneekers’, manisan, set penjagaan kulit, jam tangan, cincin emas putih Habib Jewels, sirih junjung, sejadah dan telefon bimbit Blackberry.

“Pihak lelaki pula akan membalas sembilan hantaran berupa cincin emas putih Habib Jewels, sirih junjung, cermin mata, beg tangan, set kosmetik SK II, jam tangan, wang hantaran dan sepasang subang.

“Rakan saya, Shikin bertindak sebagai pembuat hantaran perkahwinan saya kerana dia yang membuat hantaran semasa saya bertunang dulu. Dia akan menghias hantaran dengan bunga-bunga segar.

“Tentang ‘door gift’ pula saya telah sediakan terlebih awal kerana hujung bulan Oktober tahun lepas saya dah mula buat ‘survey’.

“Sementara pelamin dan pakaian akan ditaja dan diuruskan oleh perunding perkahwinan Amir Firdaus dari WSA Wedding Consultant,” cerita Cat yang masih merahsiakan jumlah wang hantarannya.

Kata Cat, dia enggan mendedahkan jumlah wang hantaran kerana tidak mahu menjadi buah mulut orang ramai buat masa ini sehinggalah tiba majlis ‘raja sehari’ itu.

Sementara itu, majlis resepsi di sebelah pengantin lelaki akan berlangsung pada 4 Julai di Wangsamaju dengan tema ‘english garden’ berlatarkan warna putih dan ungu lavender.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain