suria

Idham kitar semula judul filem untuk 'jual' JPBC

Barisan pelakon utama JPBC (dari kiri) Lan, Cat, Shaheizy dan Lisa - foto THE STAR oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS
Barisan pelakon utama JPBC (dari kiri) Lan, Cat, Shaheizy dan Lisa - foto THE STAR oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS
Barisan pelakon utama JPBC (dari kiri) Lan, Cat, Shaheizy dan Lisa - foto THE STAR oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS

BERMULA dengan hanya cakap-cakap kosong, pengarah tersohor Ahmad Idham akhirnya merasakan idea untuk menghasilkan karya baru menggunakan judul Jangan Pandang Belakang Congkak sebenarnya cukup menarik.

Setelah perbincangan dibuat dengan MIG Production tentang idea tersebut, tercetuslah filem yang ditampilkan di dalam genre komedi seram dan bakal ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh Malaysia bermula 4 Jun ini.

"Selepas saya hasilkan dua buah filem seran, Jangan Pandang Belakang dan Congkak, ramai yang asyik bertanyakan pada saya bila saya nak buat filem seram lagi.

"Jadi, saya hanya berseloroh dalam nada spontan dengan mengatakan saya akan buat filem Jangan Pandang Belakang Congkak, menggabungkan judul dua buah filem. Tapi ketika itu memang saya sekadar 'main-main' saja.

"Tapi selepas itu, saya terfikir idea tersebut macam menarik pula dan saya mula cuba kembangkan idea itu untuk dijadikan sebuah cerita. Filem ini bagaimanapun bukan sekuel kepada dua buah filem tersebut," kata Idham pada majlis prebiu filem tersebut di Cineleisure Damansara, semalam.

Menurut Idham, dia tidak kisah jika ada pihak yang beranggapan dia sengaja meletakkan strategi dengan 'mengitar semula' judul-judul filem terdahulu semata-mata untuk 'menjual' JPBC.

"Bagi saya, tak salah untuk saya berbuat demikian jika dengan cara ini ia dapat mencetuskan kesedaran dan menarik minat ramai. Sama juga dengan projek filem baru saya, Puaka Niyang Rapik yang menggunakan judul yang sama dengan versi drama yang saya hasilkan dulu.

"Saya tetap gunakan judul tersebut walaupun ia akan menampilkan jalan cerita yang lain, tidak seperti drama Puaka Niyang Rapik.

"Saya tidak kisah kalau orang cakap saya suka kitar semula judul. Saya sendiri belajar dengan penerbit, Mohd Nor Kadir yang selalu cakap pada saya, jika tajuk itu dapat 'capture' penonton, itu merupakan satu kejayaan," ujarnya.

Bercerita lanjut tentang filem JPBC itu, kata Idham, filem yang menampilkan barisan pelakon seperti Lan Pet Pet, Shaheizy Sam, Cat Farish, Lisa Surihani, Azlee, Dina dan Zarina AF itu lebih mengenengahkan elemen komedi berbanding mesej yang ingin disampaikan.

"Kali ini, saya lebih banyak fokus kepada elemen komedi manakala mesejnya hanya kecil iaitu tentang saka. Dan saya tidak tekankan unsur saka ini dari segi Islamik, tetapi apa yang buat ialah lebih kepada unsur-unsur komedi saja," kata Idham.

Secara ringkasnya, JPBC mengisahkan tentang tiga orang pemuda yang menerima surat daripada Pak Sudir, seorang yang sangat kaya dan dikatakan memelihara saka.

Pak Sudir telah meninggal dunia dan menerusi surat tersebut, dia berhasrat untuk menyerahkan harta pusakanya kepada ketiga-tiga pemuda itu yang sebenarnya adalah cucu kepada Pak Sudir walaupun mereka tidak pernah mengenali antara satu sama lain dan tidak pernah bertemu Pak Sudir.

Ketika masih hidup, Pak Sudir tinggal dengan seorang pembantu, Mustika, seorang yang cukup misteri. Namun, sebelum ketiga-tiga pemuda ini dapat mewarisi harta Pak Sudir, mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan di dalam wasiat iaitu mereka perlu menginap di rumah Pak Sudir selama tiga malam berturut-turut dan tidak dibenarkan menyentuh apa-apa barang di rumah tersebut, terutamanya sebuah congkak usang.

Namun, mereka akhirnya terjumpa juga congkak yang dimaksudkan dan terpandang belakang congkak itu yang kemudiannya telah mengubah hidup mereka dan menimbulkan kekecohan di kampung tersebut.

Ditanya tentang barisan pelakon filem itu, kata Idham, dia yakin setiap pelakon yang terlibat mempunyai kekuatan tersendiri, terutamanya tiga watak utama yang didukung oleh Lan Pet Pet, Shaheizy Sam dan Cat Farish.

Walaupun Shaheizy Sam dipilih untuk menggantikan tempat Pierre Andre yang sepatutnya membawakan watak sebagai salah seorang pemuda dalam filem itu, namun ujar Idham, lakonan Shaheizy ternyata cukup memberangsangkan.

"Sejak dulu saya lihat dia ada potensi untuk pergi jauh dalam bidang ini, cuma ketika itu nama dia tidak begitu komersial. Tetapi saya banyak ambil dia untuk projek-projek saya walaupun hanya sekadar pelakon pembantu dan ternyata, dia memang mempunyai bakat besar.

"Dan bila kami terpaksa cari pelakon untuk gantikan Pierre atas masalah tertentu, saya rasakan Shaheizy memang layak," kata Idham.

Artikel Lain