suria

Faeza akui Khabir, Shumi berjaya gilap bakat lakonannya

Faeza memegang watak Amira dalam drama bersiri La Dolce Amira di TV3. -foto The Star oleh NORAFIFI EHSAN
Faeza memegang watak Amira dalam drama bersiri La Dolce Amira di TV3. -foto The Star oleh NORAFIFI EHSAN
Faeza memegang watak Amira dalam drama bersiri La Dolce Amira di TV3. -foto The Star oleh NORAFIFI EHSAN

SEAWAL aktres dan model Noorfaezah Elai Md. Elai atau mesra disapa Faeza dikritik hebat oleh penonton filem pertama lakonannya iaitu Otai.

Lupakan seketika filem yang dilakonkan olehnya itu pada tahun 2007 lalu, kerana tahun demi tahun Faeza semakin menampakkan peningkatan lakonannya sehingga bakatnya itu dihidu oleh beberapa pengarah drama dan filem tempatan.

Selepas Otai, gadis berasal dari Pulau Pinang ini telah membintangi drama Sutera Maya, Hartamas dan terbaru, La Dolce Amira.

Faeza akui dia berjaya meningkatkan tahap lakonannya atas hasil tunjuk ajar pengarah-pengarah berkaliber seperti Khabir Bhatia dan Shuhaimi Baba.

“Sekarang, saya sudah mula belajar tentang lakonan dan sentiasa mencuba untuk meningkatkan mutu lakonan saya.

“Saya dapat rasa yang lakonan saya semakin baik selepas banyak belajar daripada pengarah seperti Khabir, Shumi dan ramai lagi kerana mereka mempunyai persepsi yang berbeza-beza,” ujarnya ketika majlis pelancaran drama La Dolce Amira dan Datin Wan Abe di Sri Pentas, Bandar Utama baru-baru ini.

Menyentuh tentang drama La Dolce Amira, Faeza memegang watak utama sebagai Amira dalam drama arahan Aida Fitri Buyong dan Ibrahim Elias itu.

Drama terbitan Pesona Pictures untuk TV3 ini menceritakan tentang sekumpulan remaja yang masing-masing mempunyai masalah keluarga lantas mencipta dunia mereka sendiri dengan mengharungi kehidupan yang materialistik.

Amira merupakan seorang yang berjiwa muda dan mempunyai ramai kawan iaitu Bakri, Hani, Maznah dan V.

Hidupnya dipenuhi dengan gelak ketawa dan usik-mengusik walaupun kadangkala asyik bergaduh.

Sebalik keceriaan itu, Amira berdepan dengan masalah rumahtangga ibu bapanya, Puan Yasmin dan Encik Azhan.

Pelbagai cubaan sudah dilakukan oleh Amira tetapi sering tidak menjadi. Amira tiada tenpat mengadu. Abangnya, Ariff bersikap endah tak endah dengan masalah ibu bapa mereka manakala adiknya, Arissa masih mentah untuk memahami situasi sebenar.

Menurut Faeza, dia berminat untuk menerima tawaran berlakon dalam drama ini kerana penerbitnya, Shuhaimi Baba.

“Saya tertarik dengan idea cerita ini yang datang daripada Shumi. Jalan ceritanya agak berlainan daripada drama yang saya lakonkan sebelum ini dan watak yang diberikan merupakan watak pertama kali dilakonkan oleh saya.

“Wataknya jenis suka menangis tetapi ada juga kasar sedikit. Paling menarik, saya memegang watak remaja berumur 18 tahun yang 10 tahun lebih muda daripada umur saya sekarang.

“Bestnya sebab jalan ceritanya juga tentang kehidupan remaja masa kini. Apa yang terjadi dari segi sosialisnya dan masalah ibu dan bapa dengan anak-anak,” ujar gadis berdarah kacukan Punjabi di sebelah ayah dan Siam (ibu).

Namun, apabila berceritakan tentang kehidupan remajanya sebelum ini, Faeza berkata apa yang dilaluinya dalam drama itu langsung tiada kena-mengena dengan kehidupan realiti semasa zaman remajanya dahulu.

“Semasa remaja dulu, saya tidak terlalu trendy seperti dalam drama ini dan lebih suka membuat hal sendiri seperti ketika belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dulu.

“Sekarang pun saya masih menjalankan kehidupan yang sama. Selepas terlibat dengan pengambaran, saya lebih suka berada di rumah dan kadangkala akan keluar berjalan-jalan di pusat membeli belah,” ujarnya yang tidak terlalu rapat dengan rakan artis.

Jika ada pun, dia suka berkawan dengan Izaac yang merupakan rakan senegeri dengannya.

“Memang saya pernah keluar berjalan bersama-samanya namun hubungan kami hanya atas dasar kawan.

“Saya dan dia tidak mempunyai apa-apa hubungan istimewa. Saya suka berkawan dengannya kerana kami sama negeri dan kami saling berkenalan di Penang,” jelasnya yang turut akan berlakon dalam filem Adik Manja Returns pada bulan Julai depan.

Selain itu, dia akan terlibat dengan sedikit pengambaran dalam sebuah drama khas untuk bulan Ramadhan terbitan Astro pada Jun ini.

Katanya, disebabkan wataknya tidak banyak, dia menerima tawaran itu.

Sudah tidak fobia berlakon filem lagi

Filem Adik Manja Returns merupakan filem keduanya selepas dia dikrtik hebat menerusi filem Otai.

Sebelum ini, Faeza pernah berkata yang dia fobia untuk berlakon filem lagi sehingga berehat selama enam bulan daripada menyertai bidang lakonan.

Kini, Faeza sudah bersedia untuk berlakon filem kembali dan tidak gentar untuk dikritik lagi.

“Saya tertarik untuk menerima filem ini kerana skripnya yang menarik. Saya melakonkan watak seorang pelajar, anak orang kaya, suka menari dan agak jahat,” ceritanya mengenai sedikit-sebanyak wataknya dalam filem terbitan hero filem Adik Manja, Dharma Harun Al Rashid.

Selain berlakon, Faeza turut aktif dalam bidang peragaan.

Temui Faeza dalam drama bersiri 13 episod La Dolce Amira di TV3, pada setiap Selasa, mulai 26 Mei, pukul 9 malam.

Artikel Sebelum

Artikel Lain