suria

David akan tukar judul Remp-It jika diminta

David (kanan) bersama pengarah dan barisan pelakon filem Remp-It Nan Sempit
David (kanan) bersama pengarah dan barisan pelakon filem Remp-It Nan Sempit
David (kanan) bersama pengarah dan barisan pelakon filem Remp-It Nan Sempit

MASIH hangat lagi masyarakat memperkatakan tentang istilah mat rempit yang telah diputuskan oleh Polis Diraja Malaysia baru-baru ini, agar ditukar kepada istilah 'samseng jalanan'.

Malah, pihak media serta pengeluar filem juga turut dinasihati agar tidak terlalu memberi 'publisiti' terhadap golongan ini.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof baru-baru ini juga berkata, penghasilan filem tentang samseng jalanan ini juga mampu menggalakkan lagi aktiviti tidak bermoral di kalangan belia.

Namun, tatkala isu ini masih menjadi bualan ramai, produser filem tersohor, David Teo tampil dengan filem terbaru terbitannya berjudul Remp-It Nan Sempit, yang berkisarkan tentang seorang mat rempit dan baru memulakan penggambarannya semalam.

Mengulas mengenai judul 'rempit' yang terus digunakan itu, kata orang kuat MIG Production Sdn Bhd ini, tindakannya itu bukan menandakan dia tidak setuju dengan perkara yang telah ditetapkan, tetapi projek itu sendiri telah mendapat kelulusan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas).

"Setakat ini, saya tidak dimaklumkan apa-apa pun. Lagipun, saya sudah pun mendapat Sijil Perakuan Penggambaran Filem yang dikeluarkan oleh Finas pada 22 Mei lalu.

"Tetapi, saya tidak ada masalah untuk menukar judul filem ini jika perlu berbuat demikian kerana kami pun belum benar-benar finalise kan benda ini," kata David yang ditemui pada majlis pelancaran dan doa selamat filem itu di pejabat Metrowealth, baru-baru ini.

Filem bergenre aksi komedi ini diarahkan oleh Ahmad Idham dan dibarisi oleh pelakon-pelakon seperti Shaheizy Sam, Intan Ladyana, Norliana Samsudin, Along Cham, Cat Farish dan Julia Hana.

Ditanya mengapa terus mengenengahkan kisah rempit atau samseng jalanan ini meskipun pengeluar filem diminta tidak berbuat demikian lagi, David menegaskan, dia sama sekali tidak merasakan filemnya itu akan menggalakkan lagi pelbagai gejala negatif di kalangan generasi muda.

"Kita kena faham situasi sebenarnya dan tidak boleh menuding jari kepada sesiapa. Filem-filem saya sentiasa menyelitkan mesej tertentu. Sebagai contoh filem Rempit yang saya terbitkan beberapa tahun lalu, di penghujung filem tersebut memaparkan mat rempit yang ditangkap polis dan 'mati katak'.

"Mesejnya sangat jelas. Kami menyampaikan mesej dalam bentuk hiburan. Lagipun kami mengikut nasihat yang ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF)," kata David.

Secara ringkasnya, Remp-It Nan Sempit mengisahkan tentang seorang mat rempit bernama Adnan yang dikenali sebagai Nan Sempit di kalangan rakan-rakannya. Dia dibesarkan oleh ibu saudaranya.

Adnan kemudiannya berhijrah ke Kuala Lumpur kerana tidak mendapat kasih sayang dan layanan yang baik daripada keluarga ibu saudaranya.

Di Kuala Lumpur, Adnan tinggal bersama abang saudaranya, Macha dan menjadi tempat dia meluahkan rasa hati. Dia bekerja sebagai mat despatch di sebuah syarikat swasta dan turut menyimpan perasaan terhadap bosnya, Nadia sehingga pelbagai konflik mula tercetus kemudiannya.

"Filem ini bukan kesinambungan kepada filem Remp-It dulu. Ia berbeza, cuma kita selitkan watak Ika dan Macha yang merupakan bekas bohsia dan mat rempit di dalam filem itu dulu sebagai kemunculan istimewa dalam filem Remp-It Nan Sempit ini.

"Berbeza dengan dulu, filem ini ditampilkan di dalam genre aksi komedi yang pastinya sesuai untuk tontonan universal," kata David.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain