suria

Heykal cuba formula baru dalam ‘Embun Mutiara’

Antara barisan pelakon drama rantaian Embun Mutiara. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
Antara barisan pelakon drama rantaian Embun Mutiara. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
Antara barisan pelakon drama rantaian Embun Mutiara. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

DRAMA bersiri Embun Mutiara yang dijangka mewarnai slot baru di TV3 sekali lagi mendapat sentuhan pengarah berbakat, Mohd. Heykal Mohd. Hanifah, 35, selepas dia menghasilkan drama rantaian Cinta Untuk Ain yang sedang disiarkan dalam slot Lestari di stesen tv yang sama sekarang.

Jika dalam Cinta Untuk Ain, Heykal menggunakan pelakon yang sudah ada nama dalam industri seperti Que Haidar dan Nabila Huda.

Sebaliknya dalam Embun Mutiara, Heykal cuba menggunakan formula baru dengan mempertaruhkan bakat-bakat baru seperti aktres Mas Muharni yang pernah membintangi filem Wayang sebelum ini.

“Disebabkan pelakon dalam Embun Mutiara terdiri daripada pelakon ‘biasa-biasa’ dan pelakon baru, jadi saya akan cuba memberikan impak dan membuat mereka menjadi bagus.

“Saya juga mencuba untuk mendidik pelakon baru seperti Mas,” kata Heykal ketika majlis pelancaran drama terbitan MIG Beats Sdn. Bhd. itu di The Mines, Seri Kembangan semalam.

Embun Mutiara mengisahkan sepasang adik-beradik iaitu Embun dan Mutiara yang dilahirkan dalam tahun yang sama.

Embun tua beberapa bulan daripada Mutiara. Sikap kedua-duanya sangat berbeza sama sekali.

Embun dengan sikap mengarahnya dan suka kepada dunia glamour. Dia bercita-cita untuk menjadi seorang model dan terkenal agar dilimpahi dengan kemewahan dan semua orang tunduk dengannya.

Mutiara pula sebaliknya kerana sikap ramah dan mesra serta rendah diri membuatkan dia sentiasa menjadi yang terbaik di kalangan rakan-rakan. Dia juga merupakan pelajar yang bijak.

Garapan ceritanya nampak ‘klise’ dan pernah ditonton dalam cerita-cerita sebelum ini seperti drama Sutera Maya.

Malah Heykal pada mulanya juga mengagak persembahan drama ini seakan-akan cerita Maria Mariana.

“Tetapi jangkaan saya silap dan ia berlainan apabila saya nilai semula skrip drama ini.

“Ceritanya mempunyai tiga hingga empat konflik dalam sebuah episod sehingga saya rasa takut kalau penonton berserabut apabila disogok dengan banyak konflik.

“Jarang saya dapat cerita seperti ini. Jadi, saya akan ‘create’ pada fotografi yang cantik dengan menggunakan sesuatu situasi.

“’Cliff hanger’ setiap episod juga berakhir dengan cerita yang bagus,” jelas Heykal yang telah mencuba semua genre seperti komedi menerusi drama Tania, ‘heavy’ (Mencari syurga).

Namun, pengarah drama Inai Malam Pengantin ini belum mencuba genre seram untuk drama tempatan melainkan dia pernah membikin untuk sebuah cerita seram di Singapura.

Heykal berkata dia bukanlah terlalu memilih tetapi bagaimanapun dia perlu melihat skrip terlebih dahulu sebelum mengolah sesebuah skrip mengikut semua.

Dia mula mengarah menerusi telefilem Dosa Semalam untuk TV3 pada November 2006.

Kariernya sebagai pengarah bermula apabila dia menjalani latihan amali dengan di bawah Opera Klasik bersama pengarah Rashid Sibir sewaktu sedang menuntut dalam jurusan Penyiaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 1996.

“Saya mula kerja dengan membuat air. Selepas itu menjadi penolong pengarah dan sekarang barulah bergelar pengarah.

“Selepas lama berada dalam industri ini, banyak perkara yang saya tahu.

“Misalnya untuk drama Embun Mutiara ini, saya perlu memikirkan bagaimana untuk menyiapkan empat episod dalam seminggu agar dapat memenuhi waktu siaran,” kata Heykal.

Drama 13 episod ini memulakan pengambaran sekitar Kuala Lumpur mulai hari ini, 20 Mac.

Embun Mutiara yang dijangka ditayangkan mulai April depan dibarisi oleh pelakon seperti Awal Ashaari, Eira Syazira, Mas Muharni, Anne Abdullah, Aida Aris dan Sharifah Shahora.

Artikel Berikut

Artikel Lain