suria

Karektor berbeza jadikan Yatt-Mutalib semakin intim

Mutalib dan Yatt menunjukkan kad jemputan perkahwinan mereka - foto MSTAR ONLINE
Mutalib dan Yatt menunjukkan kad jemputan perkahwinan mereka - foto MSTAR ONLINE
Mutalib dan Yatt menunjukkan kad jemputan perkahwinan mereka - foto MSTAR ONLINE

SEORANG berpewatakan pendiam dan seorang lagi cukup 'gila-gila' - perbezaan karektor itu sebenarnya telah menjadi penguat hubungan cinta aktres Haryati Hamzah atau Yatt dan tunangnya, Abdul Mutalib Abdul Shukor.

Tatkala menghitung hari untuk bergelar suami isteri pada tanggal 29 Mac ini, Yatt dan Mutalib dalam nada ceria akui tidak sangka dalam perbezaan karektor mereka itu sebenarnya turut terselit keserasian yang akhirnya membuatkan Yatt yakin bahawa jejaka yang bertugas sebagai pengurus SportsPlanet di Ampang itu adalah lelaki yang paling layak bergelar suaminya.

"Saya masih ingat lagi, di awal-awal dulu ketika dia 'melamar' saya untuk jadi kekasihnya, saya menolak. Lagipun ketika itu hati saya masih terluka kerana baru putus cinta dengan kekasih pertama saya.

"Tapi Mutalib memang seorang yang penyabar. Tak sangka juga, antara ramai rakannya yang cuba 'tackle' saya, dia juga yang akhirnya berjaya mencuri hati saya.

"Memang saya tidak nafikan, di peringkat awal hubungan kami dulu, dia agak cemburu orangnya apatah lagi dengan karier saya sebagai anak seni. Tapi lama-kelamaan itu, kami sudah mula rasa ada keserasian.

"Dia sudah mula faham karier saya dan yang penting, dia tidak langsung mengongkong saya," kata Yatt yang ditemui di Butik Lynda Rahim, semalam.

Mutalib yang turut hadir pada majlis bersama media yang dianjurkan Yatt sempena menjelang hari perkahwinan mereka itu turut menambah bahawa gadis yang bakal menjadi isterinya itu cukup berbeza di matanya.

"Kami berkenalan pada akhir 2004 menerusi kawan saya yang bertugas sebagai jurukamera. Ketika itu, Yatt adalah pengacara program Selamat Pagi Malaysia.

"Kami bertambah rapat setelah enam bulan kemudiannya apabila Yatt sering datang bermain futsal di Sports Planet.

"Karektor kami memang sangat berbeza. Saya seorang yang pendiam dan dia cukup 'gila-gila'. Tetapi apa yang membuatkan saya tertarik dengan Yatt ialah bila melihat dia adalah seorang yang mempunyai prinsip yang kuat.

"Dia tidak sama dengan tanggapan yang orang sering letak tentang artis," kata jejaka berusia 28 tahun ini.

Hubungan yang kemudiannya mendapat restu keluarga itu terus diikat dengan tali pertunangan pada 2 Februari tahun lalu dan akhirnya, tarikh 29 Mac ini dipilih untuk menyatukan cinta suci mereka itu.

Majlis pernikahan mereka akan berlangsung di rumah keluarga Yatt di Seremban, Negeri Sembilan. Majlis persandingan di sebelah pihak lelaki pula akan dibuat di Dewan Seri Endon, Putrajaya pada 4 April depan manakala persandingan di sebelah perempuan pula akan dibuat di sesi malam pada tarikh dan lokasi yang sama.

Menariknya, hari bersejarah pasangan ini juga turut mendapat tajaan yang melimpah-ruah; bermula dengan kad jemputan perkahwinan, rawatan kecantikan, baju pengantin, pelamin, solekan dan katering.

Butik Lynda Rahim adalah penaja utama sebagai perancang perkahwinan, persalinan dan hiasan majlis persandingan. D&D Beauty House pula akan menaja pelamin nikah manakala hiasan majlis pernikahan itu akan ditaja oleh Butik Pesona Anggun.

Antara penaja lain ialah Saddiq Solutions (kad jemputan), Den Wahab dan Udaimatunnur (persalinan nikah), Amy Janz dan Fiza Zainudin (solekan), Chef Zainal Tanjung Puteri (kek perkahwinan), My Aroma dan KK Cleaning Services (cenderahati), Kickstart Gymnastic (persembahan), Skin Basic (rawatan pelansingan badan) dan Seri Keningau Catering (katering).

Ditanya bagaimana dia mampu meraih tajaan yang begitu banyak itu, jawab Yatt:

"Penaja-penaja ini sebenarnya adalah rakan-rakan saya dan ada diantaranya adalah mereka yang pernah bekerja dengan saya. Saya rasa cukup bertuah kerana mereka 'approach' saya untuk jadi penaja perkahwinan nanti.

"Apa yang boleh saya katakan, majlis kami nanti tidaklah begitu 'grand'. Lagipun saya sedar saya bukanlah artis bertaraf hebat sangat. Apa yang saya dan Mutalib inginkan adalah satu majlis yang indah, tetapi dalam keadaan sederhana

"Kami akan tampilkan konsep moden, kontemporari dan tradisional untuk ketiga-tiga majlis itu. Dan tema majlis itu nanti ialah 'Cinta Kami'. Tunggu sajalah hari itu nanti, susah untuk saya jelaskan tentang tema itu," tutur anak kelahiran Muar, Johor, ini sambil tersenyum.

Tambah Yatt lagi, kira-kira 1400 kad jemputan telah diedarkan untuk majlis persandingan kedua-dua belah pihak yang akan berlangsung di Putrajaya nanti.

Malah, majlis khas yang dianjurkan Yatt petang semalam juga adalah bertujuan untuk mengedarkan kad jemputan itu kepada pihak media di samping berkongsi cerita tentang majlis perkahwinannya itu.

Bercerita lanjut tentang hari bahagianya itu, kata bintang utama filem Impak Maksima ini, sebanyak lima dulang hantaran akan diberikan oleh pihak lelaki dan berbalas tujuh oleh pihak perempuan.

Mas kahwin yang ditetapkan ialah RM80.80, mengambil sempena tahun kelahiran pasangan ini iaitu 1980. Namun, pelakon, model dan pengacara jelita ini enggan mendedahkan jumlah wang hantaran yang bakal diterimanya.

"Bagi perkara itu (wang hantaran), biarlah kami rahsiakan dulu," tutur Yatt sambil turut dipersetujui oleh Mutalib.

Pasangan ini juga belum memutuskan destinasi bulan madu mereka memandangkan masing-masing akan kembali sibuk dengan urusan kerja.

"Tetapi apa yang pasti, kami akan memilih untuk ke sebuah pulau. Mungkin Bali atau Maldives," kata Yatt yang akan kembali aktif dengan karier seninya setelah mengambil cuti sebulan untuk menguruskan persiapan perkahwinannya yang setakat ini sudah selesai sebanyak 80 peratus.

Artikel Lain