suria

Bidang Penyiaran perlu diletak di bawah satu kementerian

[SEMASA] KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata beliau bersetuju dengan saranan bahawa pelbagai bidang kuasa berkaitan penyiaran perlu diletakkan di bawah satu kementerian.

Beliau berkata cadangan yang dibuat Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim memanglah satu saranan yang sudah lama diajukan kerana pada masa kini bidang kuasa berkaitan penyiaran dan media dalam negara ini berada di bawah kementerian yang berbezabeza dan menyukarkan dari segi penyelarasan.

"Ia menyulitkan. Tidak ada satu kuasa yang jelas dalam soal ini. Akhbar kita dalam bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri, kandungan penerbitan dengan Finas di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

"Kandungan digital seperti animasi dan sebagainya di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, komunikasi seperti Astro dan Bernama TV di bawah Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi dan kita juga ada Kementerian Penerangan," katanya kepada Bernama selepas ditemuramah oleh Bernama TV dalam program "Helo MalaysiaBersama Menteri" di Wisma Bernama di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata: "Jadi terlalu banyak. Sebab itu soalsoal panyiaran dicadang diletakkan dalam satu kementerian."

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas cadangan Rais pada minggu lepas yang menyarankan supaya Akta Penyiaran 1984 diletakkan semula di bawah bidang kuasa Kementerian Penerangan bagi membolehkan menterinya mempunyai kuasa untuk mentadbir lunas-lunas penerangan di negara ini dengan sempurna.

Ahmad Shabery berkata sememangnya banyak kebaikan yang boleh didapati jika diletakkan dalam satu kementerian.

"Bagi saya, saya setuju. Tak kiralah diletak di bawah Kementerian Penerangan ataupun kementerian lain," katanya.

Beliau berkata perkara ini tidak perlu dibincangkan dalam kabinet kerana ia terletak pada budibicara Perdana Menteri.

Ahmad Shabery berkata sebelum ini berlaku perubahan di kementerian seperti pemecahan beberapa kementerian contohnya Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang mana bukan keputusan kabinet, sebaliknya keputusan Perdana Menteri.

"Jadi sebab itu saya rasa perkara ini kita serah kepada Perdana Menteri untuk memutuskannya dan saya percaya beliau ada kebijaksanaan untuk mengambil keputusan terbaik," katanya.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain