suria

Rabbani mahu tubuhkan kumpulan Sinar Maulidurrasul?

Persembahan pentorama merupakan antara elemen yang diterapkan dalam Konsert Malam Sinar Maulidurrasul 1430H. -foto The Star oleh AZMAN GHANI
Persembahan pentorama merupakan antara elemen yang diterapkan dalam Konsert Malam Sinar Maulidurrasul 1430H. -foto The Star oleh AZMAN GHANI
Persembahan pentorama merupakan antara elemen yang diterapkan dalam Konsert Malam Sinar Maulidurrasul 1430H. -foto The Star oleh AZMAN GHANI

MELIHAT kepada maklumbalas yang memberangsangkan daripada para penonton mahupun pihak penaja, tidak hairan sekiranya kumpulan nasyid Rabbani memasang impian untuk menganjurkan Konsert Malam Sinar Maulidurrasul (MSM) pada setiap dua tahun.

Baru-baru ini, konsert anjuran Rabbani Productions (M) Sdn. Bhd. yang diadakan sempena sambutan Maulidurrasul 1430 H berjaya menghimpunkan kira-kira 6,000 penonton dengan tajaan Telekom Malaysia Berhad (TM).

Konsert Malam Sinar Maulidurrasul 1430H menampilkan artis-artis popular seperti kumpulan Rabbani sendiri, Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Mawi, Ustaz Akil Hayy dan Datuk Siti Norbahyah.

Konsert yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam merupakan konsert kali kedua selepas ia diadakan kali terakhir pada tahun 2006 yang lalu.

Konsert itu tidak dapat diadakan pada tahun lalu akibat ketiadaan penaja. Rabbani sendiri mengakui mereka terpaksa menggunakan wang syarikat hampir RM100,000 ketika mengadakan konsert sulung Malam Maulidurrasul pada tahun 2007 gara-gara penaja menarik diri disaat-saat akhir.

“Melihat kepada suasana pada malam ini, saya yakin apa yang kami cita-citakan telah tercapai.

“Melihat kepada persembahan artis dan penghayatan orang ramai yang sungguh mengasyikkan, ia menunjukkan petanda dan maklumbalas yang baik.

“Sekurang-kurangnya konsert ini mampu memberitahu kepada mereka tentang kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Ustazah Siti Norbahyah yang menceritakan tentang kisah hidup Nabi, Siti Nurhaliza yang memberikan komitmen tidak terhingga walaupun baru sahaja kehilangan ayahanda tersayang, Mawi yang sedang sibuk merancang untuk menimang cahaya mata, Amy Search yang sibuk dengan bisnes dan Ustaz Akil Hayy yang turut sudi meluangkan masa bersama kami.

“Setiap daripada mereka mempunyai aura dan impak tersendiri. Saya rasa seperti hendak tubuhkan satu kumpulan Sinar Maulidurrasul pula.

“Insya-Allah, mungkin kita akan buat konsert ini setiap dua tahun. Ini merupakan konsert kedua kali yang dianjurkan di sini dan diharapkan TM sudi menaja konsert untuk kali ketiga nanti,” ujar vokalis Rabbani, Ustaz Asri Ibrahim ketika sidang media sejurus konsert menutup tirai.

Menurut Ustaz Asri, mereka sekali lagi merasa terpanggil untuk menganjurkan konsert tersebut sebagai satu medium dakwah melalui muzik untuk mengajak masyarakat ke arah memperingati dan menginsafi peristiwa kelahiran Rasulullah SAW serta sirah perjuangannya di muka bumi ini.

Sementara Amy Search yang baru pertama kali terlibat dengan konsert bercorak keagamaan ini menganggap ia sebagai suatu yang berbeza dengan apa yang dilaluinya sebelum ini.

“Saya menganggapnya sebagai penghijrahan yang baru dengan lagu-lagu yang saya nyanyikan malam ini (Sabtu lalu).

“Sambutannya memang di luar dugaan saya. Saya bersyukur dan berterima kasih dengan kolaborasi bersama Rabbani ini dan ia meninggalkan satu titik kenangan yang indah.

“Sejak kali pertama saya terlibat dengan konsert bersama Rabbani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), saya tertarik dengan sambutan dakwahnya.

“Esok (1 Mac) saya akan ke Kelantan, Kuantan, Pahang untuk mengikuti program berunsur dakwah.

“Saya menganggapnya sebagai suatu yang berjaya dan akan memberikan yang terbaik.

“Ekspresi konsert ini berbeza di mana ia berbentuk hiburan dan saya merasakan seluruh perkara di dalamnya. Penonton juga dapat merasakannya. Perasaan itu harus datang dari dalam jiwa kita,” ulas Amy.

Dalam konsert ini, buat julung kalinya, kumpulan Rabbani juga mencipta sejarah apabila tampil berduet dengan Datuk Siti Nurhaliza.

Bukan itu sahaja, penyanyi yang mesra dengan panggilan Siti ini juga menyanyikan lagu tema filem ‘Perempuan Berkalong Serban’ iaitu ‘Ketika Cinta’ buat pertama kalinya di hadapan khalayak.

“Saya memilih lagu ini kerana ia bermesejkan ketuhanan dan selepas berbincang dengan Ustaz Asri, dia bersetuju kerana lagu ini memberikan mesej yang bersesuaian dengan konsert pada malam ini,” ulas Siti.

Dalam pada itu, Ustaz Asri menambah: “Kami ada mencadangkan Siti menyanyikan lagu Israk Mikraj tetapi disebabkan memahami keadaannya, kita membenarkan dia memilih lagu sendiri. Jadi, ini merupakan kali pertama kerana sebelum ini saya tertunggu-tunggu untuk berduet dengan artis wanita.”

MSM kali ini akan dipersembahkan secara ‘non-stop entertainment’ dari artis-artis yang terlibat. Lima elemen utama dalam persembahan kali ini ialah nyanyian, qasidah, tazkirah, pentorama dan persembahan multimedia.

Selain TM, stesen televisyen swasta nombor satu negara, TV3 buat kali keduanya menjadi penyiar rasmi konsert.

Pada malam itu juga diadakan majlis penyerahan Tabung TV3 Bersamamu yang disempurnakan oleh Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.

Artikel Sebelum

Artikel Lain