suria

Artis, bekas peserta program realiti warnai AF7

Peserta lelaki AF7 ketika majlis memperkenalkan peserta AF7 hari ini. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Peserta lelaki AF7 ketika majlis memperkenalkan peserta AF7 hari ini. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Peserta lelaki AF7 ketika majlis memperkenalkan peserta AF7 hari ini. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT

[SEMASA] KUALA LUMPUR: Penyanyi Nas Adila dan tiga bekas peserta kelahiran program realiti tempatan adalah antara 20 peserta yang terpilih bagi menyertai Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7).

Tiga peserta realiti itu ialah Khairul Azam Pilus daripada program Gangstarz yang juga merupakan adik kepada penyanyi Izwan Pilus; Abraham Edwin Dungot, daripada program One In A Million (OIAM) musim kedua dan Rubisa Tiasin, peserta kelahiran My Starz LG.

Turut terpilih menyertai program realiti popular ini ialah isteri kepada pelakon Ezany, Lizda Nuryanti Abidin serta kakak kepada vokalis kumpulan New Boyz, Tomok iaitu Ismaliza Ismail yang juga isteri kepada bekas anggota kumpulan 2 By 2, Zul.

Peserta-peserta lain yang berjaya melayakkan diri sebelum disenaraipendek untuk beraksi di Konsert Mingguan AF7 bermula 14 Mac ini ialah Siti Aishah Bujang dari Kuching, Sarawak; Cabrine Blaire Bernard Solibun (Kota Kinabalu), Claudia Fay Geres (Kuching), Alpaezah Manaf (Keningau), Zuzafrini Zulkifli (Kajang), Nurfazelah @ Zizie Tahil (Semporna, Sabah), Afiq Hakim Ahmad (Johor Bahru), Abd. Hamim Suleiman (Johor Bahru), Mohd. Hafiz Mohd. Suip (Kuching), Kelana Ayu (Bintulu), Ahmad Sobri Hasmuni (Johor Bahru), Mohd. Qhauhd Abd. Rashid (Selangor), Mohd. Rashidi Mohamad Isa (Ipoh) dan Mohd. Yazid Ibrahim (Johor Bahru).

Lebih menarik, musim ini juga mencipta rekod tersendiri dengan penyertaan lebih ramai peserta yang sudah berkahwin, berbanding musim-musim terdahulu yang rata-ratanya hanya mempunyai seorang atau dua peserta saja yang telah berkahwin.

Selain Ismaliza dan Lizda, empat peserta musim ini yang telah pun mendirikan rumahtangga ialah Rubisa, Mohd. Rashidi, Kelana Ayu dan Claudia.

Kesemua 20 peserta ini sedang mengikuti kursus orientasi selama seminggu dan senarai peserta yang layak menjadi finalis AF7 akan diumumkan pada Tirai AF7 yang akan disiarkan pada Ahad ini, pukul 9 malam di Astro Ria.

Seramai 12 hingga 14 peserta akan dipilih untuk bergelar finalis AF musim ini yang menampilkan tagline 'satu transformasi akan berlaku'.

"Melalui pemerhatian pihak produksi sejak sesi ujibakat pada awal Januari lalu, kami dapat melihat sambutan yang amat memberangsangkan dari semua pihak bagi menjayakan AF7.

"Di sepanjang sesi ujibakat yang telah berlangsung di empat buah negeri, kami berjaya meraih lebih dari 9000 penyertaan dan ini merupakan rekod tertinggi yang pernah dicatatkan berbanding pada musim-musim lepas.

"Dua puluh calon pelajar yang terpilih ini merupakan yang terbaik di antara yang terbaik. Namun, hanya sejumlah pelajar yang benar-benar menonjol akan menerima transformasi selepas pengumumannya pada program Tirai Akademi Fantasia 7 nanti," kata Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul.

Mengulas tentang jawatan Pengetua yang masih menjadi teka-teki sehingga kini, kata Khairul, pihak produksi telah pun memilih individu yang dilihat layak memegang kerusi tersebut.

Namun, kata Khairul, buat masa ini nama itu belum dapat didedahkan bagi mengekalkan elemen kejutan program tersebut.

"Pada awalnya memang kami rancang untuk umumkan nama Pengetua pada hari ini.

"Tetapi setelah berbicang semula, kami rasa lebih sesuai jika kami tampilkan Pengetua itu buat pertama kali di dalam program Diari AF pada 9 Mac ini, pada jam 9 malam," kata Khairul yang enggan mengulas lanjut tentang jawatan 'panas' itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain