suria

M. Nasir ‘pinggir’ artis lain untuk Konsert Alam Muzik

Sifu M. Nasir bakal menjayakan Konsert Alam Muzik di Istana Budaya, Kuala Lumpur mulai 27 Februari hingga 1 Mac depan sejajar untuk meraikan karier seninya yang ke-30. foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Sifu M. Nasir bakal menjayakan Konsert Alam Muzik di Istana Budaya, Kuala Lumpur mulai 27 Februari hingga 1 Mac depan sejajar untuk meraikan karier seninya yang ke-30. foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Sifu M. Nasir bakal menjayakan Konsert Alam Muzik di Istana Budaya, Kuala Lumpur mulai 27 Februari hingga 1 Mac depan sejajar untuk meraikan karier seninya yang ke-30. foto The Star oleh SHAARI CHE MAT

USIA 30 tahun semestinya menjadi suatu jangka masa yang lama bagi penyanyi dan komposer M. Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad, 52, membuat keputusan untuk mengadakan konsert solo tanpa memerlukan sokongan atau bantuan artis jemputan.

Selepas melewati usia 30 tahun merentas dunia seni muzik tanah air, penyanyi yang dikenali dengan gelaran ‘Sifu’ ini semakin yakin untuk menyanyi di pentas seorang diri dengan ditemani oleh 10 orang pemuzik profesional.

Memandangkan konsert ini dibuat juga sempena meraikan 30 tahun penglibatannya di dalam industri, maka termeterailah konsert yang diberi nama ‘Alam Muzik’ menggambarkan perjalanan seni M. Nasir yang berwarna-warni.

Namun, bagi M. Nasir, sebab beliau membuat konsert secara solo dengan ‘meminggirkan’ artis jemputan bukanlah isunya.

“Kalau saya nak menyanyi, saya inginkan seseorang artis yang menepati apa yang saya inginkan. Apabila ada ‘chemistry’ barulah saya dan artis itu boleh adakan konsert bersama-sama.

“Lagipun, dalam konsert ini kita sudah mempunyai konsep tersendiri, jadi jika kita jemput artis lain mungkin ia akan mengganggu sedikit perjalanan konsert pula nanti. Saya juga lebih selesa menyanyi seorang diri di pentas,” jelas M. Nasir dalam sidang media di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam.

Menurut pengasas kumpulan Kembara pada tahun 80-an ini, idea untuk tampil solo banyak dipengaruhi oleh dunia lukisan kerana ia mempunyai seni yang halus.

“Kita tidak perlu menggunakan orang lain untuk melukis wajah kita. Jadi, kita perlu sampaikan lagu kita dengan sendiri. Apa yang kita fikirkan tidak sama dengan orang lain fikirkan.

“Itu yang saya percaya sebagai seorang seniman. Oleh itu, saya boleh menyanyikan lagu yang orang lain inginkan dan menyampaikan lagu yang saya ingin nyanyikan,” kata M. Nasir yang juga merupakan pemilik Luncai Emas Sdn. Bhd dan bekas pengetua Akademi Fantasia 3 (AF3).

M. Nasir bercerita, khazanah yang berjaya dikumpul oleh beliau sepanjang 30 tahun ini adalah sebanyak 1,500 buah lagu.

Melalui FaceBook, M. Nasir berkata beliau cuba mendapatkan pandangan peminat tentang lagu apa yang mereka ingin beliau nyanyikan di dalam konsert ini.

“Ramai yang meminta saya menyanyikan lagu-lagu yang pernah dicipta oleh saya iaitu kira-kira 70 buah lagu. Tetapi, saya merancang untuk mengadakan persembahan mengenai suatu perjalanan seni yang telah saya hasilkan sejak tahun 1978 hingga ke hari ini.

“Saya harap, semua penonton akan dapat melihat perkembangan muzik yang berubah-ubah bermula daripada zaman sentimentalisma, selepas itu lagu-lagu kerakyatan, seterusnya lagu-lagu rock, ‘Malaysia world beat’ dan terakhirnya ‘hip hop’.

“Saya rasa mungkin ada yang tak sempat mengikut kerana saya ni minat apa sahaja yang kontemporari. Mungkin juga ada orang akan terperanjat apabila saya mengatakan lagu itu dibuat oleh saya.

“Mungkin itulah yang akan rasa di dalam konsert ini iaitu apa yang telah saya lalui sebelum ini di mana saya akan mempersembahkan muzik ‘fusion’, ‘world beat’ dan muzik popular,” tambah M. Nasir yang sudah lebih sebulan membuat persediaan untuk konsert mega ini.

Konsert Alam Muzik M. Nasir akan berlangsung selama dua jam di mana beliau menjangkakan akan menyanyikan dalam anggaran tidak lebih daripada 30 buah lagu bagi tiga malam berturut-turut dan pemilihan lagu adalah berbeza-beza bagi setiap malam.

“Lagu yang saya hasilkan mempunyai sesuatu yang peribadi untuk disampaikan kepada masyarakat. Berapa banyak lagu yang saya hasilkan kepada penyanyi lain berunsur popular.

“Jadi, saya akan menyanyikan lagu-lagu yang saya ciptakan di mana konsepnya mempunyai graf-graf tersendiri dan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh orang lain mengikut kesesuaian suara saya termasuk lagu yang orang lain ciptakan untuk saya,” ujar pelantun lagu duet Mantera Beradu bersama-sama Malique Too Phat ini.

Antara puluhan lagu ciptaan M. Nasir yang dinyanyikan oleh penyanyi lain adalah Hati Emas nyanyian Kembara, Hingga Akhir Nanti (Alleycats), Sekuntum Mawar Merah (Alleycats), Fantasia Bulan Madu (Search), Istana Menanti (Rahim Maarof), Sejati (Wings), Dari Kekasih Kepada Kekasih (Hattan), Kekasih Awal dan Akhir (Jamal Abdillah) dan Aduh Saliha (Mawi).

Selain pertama kali membuat persembahan secara solo di Istana Budaya, apa yang mengujakan M. Nasir untuk membuat persembahan kali ini kerana suasana persembahan yang berbeza dan lebih dekat dengan penonton.

“Apabila ‘intimasi’nya agak kecil, ia lebih dekat dengan penonton. Akustik dan rekaan pentas di sini akan menimbulkan suatu perasaan yang berlainan. Jika kita membuat di luar, mungkin kita tidak berpeluang untuk merasai kelainan ibarat orang yang berlakon di televisyen dan di pentas.

“Jika saya menyanyi di luar, saya perlu sesuaikan dengan lagu yang lebih kuat. ‘Intimasi’ ini seperti kita menyanyi di hadapan penonton secara dekat di mana ia membuatkan penyampaian artistik lebih daripada biasa,” tutur penyanyi kelahiran Kota Singa ini.

Sebelum ini, M. Nasir telah banyak menjayakan puluhan konsert mega seperti Malam Bonda M. Nasir di UKM pada tahun 1994, Konsert Canggung M. Nasir di Johor Bahru, 1995, Konsert Akar Manifestasi Akustika M. Nasir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 1995, Konsert M. Nasir Crossing Uk’ 97 di Manchester, 1997 dan Konsert Gembala M. Nasir di Harbour Pavilion, Singapura, 1999.

Dalam pada itu, menurut Penerbit dan Pengarah Boxoffice Malaysia Sdn. Bhd., Ali Bakar, idea dan perancangan untuk membuat Konsert Alam Muzik M. Nasir terbit sejak tahun 2007.

“Saya terfikir untuk membuat Konsert Alam Muzik M. Nasir kerana ini merupakan konsert solo kelima beliau dengan Boxoffice Malaysia melibatkan beliau sebagai artis utama.

“Menariknya apabila membuat konsert M. Nasir, dia sentiasa mempunyai idea dan kelainan bagi setiap konsertnya.

“Yang istimewanya bagi Konsert Alam Muzik M. Nasir ini adalah ia diadakan selama tiga malam. Selain itu, ini merupakan kali pertama M. Nasir membuat konsert solo di Istana Budaya.

“Bukan itu sahaja, konsert ini akan dipersembahkan dengan peralatan yang sesuai dengan zamannya serta konsepnya seperti audio, pencahayaan, 'props', kostum dan lain-lain lagi akan dilakukan oleh ‘team’ yang kreatif dan berpengalaman.

“Segala idea rekaan pentas konsert ini akan disediakan oleh penyanyi Usop Kopratasa.

“Konsert kali ini juga adalah sesuatu yang istimewa kerana ianya melibatkan NSTP Charity Fund, di mana setiap RM1 dari hasil jualan tiket akan diagihkan kepada tabung ini.

“Barangan eksklusif edisi terhad seperti ‘mug’ dan ‘mouse pad’ yang tertera tandatangan juga akan turut dijual. Hasil dari jualan ini juga akan disalurkan terus ke NSTP Charity Fund,” ujar Ali Bakar.

Memandangkan sudah lima tahun menjayakan konsert melibatkan M. Nasir, Ali Bakar berkata beliau sudah faham dan masak dengan perangai penyanyi tersebut setiap kali menyentuh soal pemilihan lagu.

“Cabaran untuk saya berhadapan dengan konsert kali ini sama juga seperti cabaran sebelum-sebelum ini yang melibatkan kelainan yang ingin ditonjolkan oleh M. Nasir kerana beliau hanya mahu nyanyikan lagu yang beliau ingin nyanyikan sedangkan dalam masa yang sama saya sudah siapkan senarai lagu yang mahu beliau sampaikan,” tambah Ali Bakar mengenai cabaran yang dihadapinya untuk mengadakan konsert kali ini.

Sebelum ini, M. Nasir telah menjayakan konsert anjuran Boxoffice antaranya di Stadium Merdeka pada tahun 1987, Konsert Canggung M. Nasir di Stadium Negara pada 1994 dan Konsert Andalusia M. Nasir di Stadium Merdeka pada 2000.

Tiket-tiket berharga RM250, RM200, RM150, RM85 dan RM45 telah mula dijual dan tenpahan boleh dibuat melalui talian 03-41498600 atau layari laman web www.ticket2u.biz.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Istana Budaya Juhari Shaarani memaklumkan tiket berharga RM85 telah habis dijual untuk ketiga-tiga malam tersebut.

Konsert Alam Muzik M. Nasir dibawa khas untuk semua peminat setia M. Nasir yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya selama tiga hari berturut-turut mulai 27 Februari hingga 1 Mac depan.

Artikel Berikut

Artikel Lain