suria

Maya dan Fazura sanggup jadi ' Pisau Cukur'?

Gandingan sesuai - Maya Karin dan Nur Fazura dalam filem terbaru Bernard bertajuk 'Pisau Cukur.' Poster filem yang menarik.
Gandingan sesuai - Maya Karin dan Nur Fazura dalam filem terbaru Bernard bertajuk 'Pisau Cukur.' Poster filem yang menarik.
Gandingan sesuai - Maya Karin dan Nur Fazura dalam filem terbaru Bernard bertajuk 'Pisau Cukur.' Poster filem yang menarik.

APA yang akan terjadi bila mangsa dan pemburu sama-sama terperangkap di atas kapal percutian mewah? Dua orang gadis pisau cukur, Bella dan Intan, bertembung dengan tiga orang Datuk, tiga orang isteri Datuk, dua orang anak Datuk, seorang detektif dan seorang peminat setia Bella. Siapakah yang memburu dan siapa pula diburu? Dalam pelayaran yang penuh kejutan dan kelucuan, apa pun boleh terjadi!

Begitulah sedikit ‘teaser’ filem Pisau Cukur terbitan Red Films dengan kerjasama Grand Brilliance dan Primeworks Studios yang dijangka menemui khalayak filem pada pertengahan tahun depan.

Watak utama Pisau Cukur didukung oleh aktres rupawan Fazura dan Maya Karin. Fazura memegang watak Intan manakala Maya pula memainkan peranan sebagai Bella.

Selain itu, pelakon kacak Aaron Aziz, Eizlan Yusof dan pendatang baru Redza Minhat turut mewarnai filem arahan Bernard Chauly ini.

Menariknya tentang Pisau Cukur, kata produser Lina Tan, terdapat pelbagai aspek seperti gandingan pertama kali Maya dan Fazura, genre romantik komedinya dan teknik CGI yang digunakan bagi menampakkan 90 peratus cerita yang berlaku di atas kapal namun pengambaran sebenar dilakukan sepenuhnya di darat.

"Boleh dikatakan keseluruhan perkara di dalam filem ini sangat menarik bagi saya. Saya rasa mesti ramai yang ingin melihat gandingan pertama kali antara Maya Karin dan Fazura.

"Selain itu, filem ini bergenrekan romantik komedi yang pastinya menghiburkan penonton.

"Walaupun ceritanya sarat dengan mesej-mesej yang menyentuh tentang wanita materialistik, kita juga cuba memasukkan unsur ‘light hearted’ dan komedi.

"Memang cerita ini memberi gambaran tentang wanita mata duitan, tetapi dalam masa yang sama, kita cuba berikan sudut pandangan yang lelaki juga ada yang suka kikis harta wanita. Ini bermakna bukan wanita sahaja yang pisau cukur tetapi sama juga lelaki.

"Kita juga menyelitkan isu-isu sebaliknya dari perspektif yang berlainan," jelas Lina Tan.

Dari segi penyampaian mesej, Lina berkata dia yakin penonton akan menyukai filem ini tambahan pula genre komedi yang digunakan turut memainkan peranan yang penting untuk menarik perhatian penonton ke pawagam.

"Saya rasa penonton mampu menerima mesej yang disampaikan melalui genre komedi berbanding melodrama kerana mereka gemarkan komedi. Yang penting adalah mesej yang terkandung dalam cerita tersebut.

"Melalui romantik komedi, saya harap penonton akan ketawa dan terhibur. Setelah menontonnya, saya harap penonton akan tertarik untuk berbincang dengan orang lain tentang filem tersebut," ujar produser yang pernah menerbitkan filem Gol & Gincu ini.

Mengenai pemilihan Maya dan Fazura sebagai watak utama, Lina berkata keceriaan Fazura yang pernah membintangi drama dan filem Gol & Gincu itu membuatkan mereka tertarik untuk mengambil wanita berusia 25 tahun itu.

Sementara pemilihan Maya yang baru pertama kali berlakon dalam filem terbitannya pula, Lina berkata beliau memilih wanita kacukan Jerman-Melayu itu kerana mempunyai karektor yang matang serta mampu melakonkan pelbagai watak.

"Kami sebulat suara memilih Maya sebab Bella mempunyai perwatakan yang matang, membuat transformasi kepada seorang yang naif tetapi sedikit nakal.

"Kami fikir Maya boleh bawa watak itu. Apabila kami menawarkan watak tersebut, Maya bersetuju dan berminat untuk melakonkannya di samping mempunyai idea tersendiri untuk mencantikkan watak tersebut.

"Semasa kami buat sesi bacaan skrip dengan Maya, dia boleh sesuaikan diri dengan watak Bella malah turut teruja untuk bekerja dengan kami terutama Bernard," cerita Lina lagi.

Perihal Intan (Fazura)

Intan merupakan seorang penyampai dan personaliti TV yang mengacarakan sebuah rancangan popular bertajuk "Jejak Jenayah". Sebenarnya Intan memang bercita-cita untuk menjadi penyampai TV sejak kecil lagi selepas melihat ramai pengacara wanita TV3 akhirnya berkahwin dengan orang yang kaya dan ternama.

Kini, Intan juga telah berjaya mendapatkan calon suami yang berpangkat iaitu Datuk Salleh, seorang ahli politik yang sudah pun berkeluarga.

Datuk Salleh memanjakan Intan dengan hadiah-hadiah mewah seperti kereta, pakaian dan aksesori berjenama, serta percutian-percutian ke luar negara. Lalu, Intan pun sudah biasa dengan hidup senang.

Bila Datuk Salleh tidak dapat pergi bercuti dengannya di atas kapal persiaran, Intan merajuk dan memutuskan untuk pergi sendiri bersama rakan serumahnya, Bella.

Setibanya di atas kapal, Intan cuba mencari calon suami yang kaya untuk Bella. Mereka terserempak dengan Ari, seorang penyiasat persendirian yang pernah diupah oleh isteri Datuk Salleh untuk mengekori Intan.

Intan yang memang tidak puas hati dengan Ari mula memerhatikan gerak-gerinya untuk memastikan mengapa sebenarnya Ari berada di situ. Bila salah seorang penumpang kapal dijumpai terbunuh, Intan dan Ari sama-sama menyiasat kes tersebut dan mendapati mereka sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain…

Walaupun pada luarannya Intan kelihatan seperti seorang yang pentingkan diri sendiri semata-mata, pada hakikatnya dia seorang kawan yang amat setia. Dia juga panjang akal dan penuh dengan sifat ingin tahu. Sikapnya yang nakal, periang dan berani memberikannya daya penarik yang cukup hebat.

Perihal Bella (Maya)

Bella datang dari keluarga susah dan telah dijaga oleh neneknya selepas kematian ibu bapanya pada usia yang muda.

Nenek Bella selalu memberitahunya yang arwah ibu Bella telah mensia-siakan hidup dengan mengahwini seorang pelaut miskin yang akhirnya pergi tanpa meninggalkan sesen pun.

Oleh sebab itu, dari kecil lagi Bella mengidamkan suami yang kaya sebagai jalan keluar dari kemiskinan. Bella tidak ingin anak-anaknya kelak menjalani hidup susah seperti dirinya sendiri.

Lantas dia berusaha membentuk dirinya menjadi calon isteri yang sempurna untuk lelaki yang kaya dan berpangkat. Selepas meninggalkan sekolah, dia memulakan kerjaya sebagai pramugari dan telah cuba mencari calon suami dari kalangan penumpang yang kaya.

Namun selepas bertahun-tahun, dia masih tidak berjaya, lantas dia memutuskan untuk berhenti kerja demi menyertai rancangan realiti "Siapa Nak Kahwin Jutawan?".

Nasib Bella begitu malang kerana di pengakhiran rancangan tersebut, si jutawan telah memutuskan untuk berkahwin dengan peserta yang lain. Bella kini tanpa pekerjaan, tanpa calon suami dan dengan reputasi sebagai gadis mata duitan.

Untuk menghiburkan hatinya, rakan serumahnya Intan telah membawanya bercuti di atas kapal persiaran. Memandangkan ramai orang kaya turut belayar bersama mereka, inilah peluang Bella untuk mencari calon suami baru.

Calon tersebut muncul bila Bella bertemu dengan Datuk Hisham. Namun begitu, Bella segera mendapati yang hubungan baru ini bukan semudah yang disangka…

Bella sebenarnya tidak mempunyai naluri seorang pisau cukur, namun dia berpendapat apalah susahnya berkahwin dengan seseorang lelaki semata-mata untuk duit. Perwatakannya yang manis, anggun dan lemah-lembut menjadikannya seorang yang cukup menawan di mata lelaki.

Sasar terbit dua filem setahun

Filem ini telah selesai pengambaran pada November lalu selepas mengambil masa selama 25 hari untuk menjayakannya.

Kata Lina, filem yang membelanjakan kira-kira RM1.4 juta untuk produksi sahaja itu sedang menjalani proses suntingan sebelum ditayangkan pada pertengahan tahun depan.

Menurut Lina, Red Films sebelum ini menerbitkan sebuah filem dalam setahun tetapi mulai tahun depan, mereka mensasarkan untuk cuba menghasilkan dua buah filem setahun.

"Setakat ini, kita sudah ada dua buah filem yang sedang dalam proses pembangunan syot dan dijangka akan dilakukan pada pertengahan tahun depan.

"Sebelum ini, kita selalunya menerbitkan sebuah filem dalam setahun. Misalnya, tahun ini kita terbitkan Kami The Movie manakala Pisau Cukur pada tahun depan.

"Pada 2010, kita nak buat satu atau dua buah filem setahun. Kita akan buat filem yang ada ‘pembangunan’ menyentuh tentang keluarga dan muzik," kata Lina yang juga akan menerbitkan siri tv ‘Blogger Boy’ untuk 8TV yang akan memulakan pengambaran pada bulan depan di mana ia akan memperkenalkan dua muka baru dalam industri lakonan.

Selain itu, program 3R-Respek, Relaks, Respons akan mula beraksi mulai Mac tahun depan dengan hos yang sama tetapi dengan rancangan yang baru.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain