suria

Saudara terdekat Datuk K mangsa tragedi tanah runtuh

KUALA LUMPUR: Suasana kelam-kabut di kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa awal hari ini turut menarik perhatian usahawan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa untuk meninjau tempat kejadian.

Beliau yang tiba kira-kira 11 pagi bersama isterinya, penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, berada di situ untuk membantu saudara terdekatnya, Hassan Saad, 49, yang merupakan salah seorang mangsa banglo runtuh dalam kejadian terbabit.

"Saya menerima panggilan telefon daripada saudara saya (Hassan) kira-kira pukul 3 pagi mengatakan rumahnya tertimbus dalam tanah runtuh.

"Sejurus selepas itu, saya bergegas ke tempat kejadian dan terkejut melihat tanah menggelongsor dari atas ke bawah dan menimbus banyak rumah," katanya.

Khalid berkata, saudaranya itu kini menumpang sementara di rumah beliau yang terletak berdekatan dengan tempat kejadian.

Badlishah Hamzah, 45, pula berkata, beliau terkejut dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku pagi ini.

"Anak saudara saya telefon kira-kira pukul 3.30 pagi dan menyuruh saya selamatkan beliau. Saya kemudian bergegas ke rumah anak saudara yang terletak di kawasan tanah runtuh tapi tak boleh masuk ke kawasan kejadian sebab polis dah tutup jalan," katanya yang tinggal di kondominium Sinaran Ukay iaitu satu kilometer dari tempat kejadian.

Katanya anak saudaranya selamat dan tiga anggota keluarganya yang lain juga sempat menyelamatkan diri.

Norazlan Shazali, 30, pula yang tinggal di Kondominium Impian Selatan berkata, beliau terdengar bunyi loceng kecemasan di kondominium kirakira pukul 3.30 pagi.

"Masa tu dia saya baru hendak tidur tiba-tiba terdengar bunyi 'alarm' dan sejurus selepas itu bekalan elektrik terputus, lampu di luar kondo pun dah tak de," katanya.

Beliau berkata, selepas bekalan elektrik terputus, penduduk kondominium yang panik bergegas keluar dan berkumpul di sekitar kawasan parkir kereta dan ketika itu beliau nampak ada dua atau tiga pokok mulai tumbang dari atas bukit ke bawah kawasan perumahan.

Norazlan berkata, kira-kira pukul 9 pagi, kereta peronda polis datang dan mengarahkan penduduk sekitar kondominium mengosongkan tempat kejadian. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain