suria

Empat filem terhebat Rosyam sepanjang Disember

JIKA anda peminat pelakon terkenal Rosyam Nor, jangan lepaskan peluang mengikuti empat filem terhebat pelakon handalan ini.

Saluran 24 jam yang khusus untuk tayangan filem-filem hebat dari dalam dan luar negara, Astro Kirana (saluran 122) kini mendedikasikan bulan Disember sebagai bulan tayangan filem-filem hebat lakonan Rosyam Nor menerusi slot Blockbuster Ahad Kirana.

Filem-filem hebat seperti Suami, Isteri &..., Lenjan, Berlari ke Langit dan Syaitan telah dipilih bagi mewarnai hari Ahad malam di sepanjang bulan Disember ini pada jam 9.00 malam.

Menurut Pengurus Saluran Astro Kirana, Sharlyza Sharkawi berkata, ”Baru-baru ini, Rosyam Nor telah dianugerahkan Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 menerusi filem lakonannya Kala Malam Bulan Mengambang. Filem ini juga telah kami tayangkan sebagai tayangan istimewa pada bulan November.

Oleh itu, empat lagi buah filem berlainan genre hasil lakonan beliau telah dipilih untuk ditayangkan di Astro Kirana melalui segmen khas ’Rosyam Nor dari dulu hingga kini.”

”Bukan itu sahaja, kami di Astro Kirana berasa amat bangga apabila mempunyai platform tersendiri bagi mengenengahkan filem-filem lakonan Rosyam Nor menerusi slot Blockbuster Ahad Kirana di sepanjang bulan Disember ini.

Pencapaian dan sumbangan beliau yang besar terhadap industri perfileman negara tanahair dilihat sebagai tanda sokongan bagi mewarnai lagi industri ferfileman tanahair,” tambah Sharlyza lagi.

Filem-filem lakonan Rosyam Nor yang akan ditayangkan di Astro Kirana (saluran 122) pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam adalah seperti:

SUAMI, ISTERI & … (komedi) 7 Disember 2008

Fatah merupakan seorang suami yang setia dan bertanggungjawab. Walau bagaimanapun, rumahtangga beliau mulai retak apabila Fatah bertemu dengan Jamilah yang telah datang untuk menuntut wang insurans setelah suami beliau meninggal dunia.

Fatah cuba menerangkan perkara sebenar kepada isterinya, Salmah, tetapi Salmah enggan untuk mendengar dan menuntut cerai daripada Fatah.

Salmah yang pada waktu itu sedang mengandung anak pertama mereka melarikan diri. Lima tahun kemudian mereka telah bertemu kembali dan Amir, anak mereka, cuba menyatukan kedua-dua ibu bapanya semua. Filem arahan Pansha ini turut dibintangi Lydiawaty dan Sheila Rusly.

LENJAN (romantik) 14 Disember 2008

Filem Lenjan yang turut dibintangi Eman Manan ini mengisahkan Amir yang merupakan seorang usahawan yang berjaya dan telah mula memahami erti cinta sebenar setelah berkahwin dengan Zita.

Bagi Amir, Zita merupakan segalanya yang diimpikan oleh lelaki dalam seorang wanita. Zita merupakan seorang yang penyayang dan lemah lembut. Semasa sedang bercuti, Amar telah menyelamatkan Zarin yang telah mengalami kecederaan.

Amir tidak sedar bahawa Zarin merupakan seorang perogol dan pembunuh licik yang mempunyai niat jahat terhadap Zita. Mampukan Zita menyelamatkan diri beliau daripada Zarin? Atau, adakah nafsu akan mengatasi cinta?

BERLARI KE LANGIT (drama) 21 Disember 2008

Indra merupakan seorang nelayan yang telah kehilangan rakan-rakan karib beliau dalam kemalangan di laut. Beliau seorang sahaja yang telah terselamat dalam kemalangan tersebut dan telah mendarat di sebuah pulau 9 bulan yang lepas.

Beliau amat bersyukur dan setelah menghilang selama 9 bulan, Indra kembali semula ke perkampungannya dan semua penduduk terkejut dengan kehadiran semula Indra.

Zulhijah, kekasih Indra, kini telah bertunang dengan Bukhari yang menyebabkan Indra berasa amat kesal. Indra kini mencurahkan segala tenaga dan kasih sayangnya terhadap adik beliau, Iman. Suatu hari, Yasmin, yang merupakan guru kepada Iman, datang untuk bertemu dengan Indra untuk membincangkan Iman.

Indra telah mula merasa kasih kepada Yasmin. Yasmin mempunyai perasaan yang sama telah berbelah bagi samada untuk menerima cinta Indra memandangkan beliau tidak akan hidup lama lagi kerana mengalami penyakit kanser.

Saksikan cerita selanjutnya ... Manusia hanya merancang .... tetapi Tuhan yang menentukan segalanya. Filem arahan Bade Hj. Azmi ini turut dibintangi Fasha Sandha.

SYAITAN (drama seram) 28 Disember 2008

Muslim dan Dalila merupakan pasangan yang baru berkahwin tetapi tidak sehaluan. Dalila yang telah dipaksa untuk berkahwin dengan Muslim oleh ibu bapanya tidak dapat melupakan cinta silam beliau kepada Saad.

Muslim cuba untuk merapati Dalila dan tidak lama kemudian Muslim dapat melihat perubahan pada diri Dalila .... Satu kejadian telah menimpa Muslim dan beliau telah mengalami koma.

Semasa berada dalam koma apa yang dimimpikan Muslim benar-benar berlaku ... saksikan filem ini yang turut membariskan Que Haidar, Lisdawati dan Zul Huzaimi.

Jangan lupa dengan temujanji anda untuk menonton filem-filem hebat lakonan Rosyam Nor melalui slot ’Rosyam nor dari dulu hingga kini’ pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam, hanya di Astro Kirana!

Artikel Sebelum

Artikel Lain