suria

Jinbara potong rambut untuk bersihkan nama

INI bukan gimik mahupun untuk meraih publisiti murahan. Keputusan lima anggota kumpulan Jinbara ini iaitu Tia (vokal), Anjang (gitar utama), Chepot (gitar), Akin (bass) dan Ah Tan (dram) untuk memotong rambut mereka di khalayak ramai semalam adalah inisiatif mereka untuk membersihkan nama kumpulan yang sudah tercemar.

Semuanya gara-gara berita yang mengatakan kononnya salah seorang daripada ahli kumpulan itu iaitu Chepot, ditangkap di sempadan Thailand baru-baru ini kerana penyalahgunaan dadah.

Laporan tidak berasas sebuah akhbar tempatan itu nyata memberi impak buat kumpulan yang popular dengan lagu Farhana Bumi Kenyalang dan Zakiah Zakiah ini.

Lantaran itu, dengan kerjasama syarikat rakaman Warner Music dan stesen radio popular Era.FM, Jinbara sanggup memotong rambut mereka bertempat di Pasar Seni semalam, walaupun imej rambut panjang telah pun sebati dengan kumpulan ini.

"Kami terpaksa ambil inisiatif ini untuk membersihkan nama kami yang sudah tercemar. Ini bukan gimik, kami tidak perlukan publisiti murahan kerana Jinbara sudah pun dikenali dari segi karya dan muzik kami.

"Mula-mula memang berat hati juga untuk saya memotong rambut. Sudah lebih dua tahun sebenarnya saya simpan rambut ni. Tapi bila memikirkan ini satu pengorbanan besar, ditambah pula dengan kedatangan Hari Raya Qurban, saya dan rakan-rakan sanggup untuk lakukan.

"Lagipun masyarakat selalu mengaitkan lelaki berambut panjang akan terlibat dengan dadah. Walaupun hari ini kami hanya potong rambut sedikit saja, kami tetap harap inisiatif ini mampu menjernihkan kembali nama Jinbara.

"Kami juga ingin membuktikan bahawa Jinbara turut menyahut seruan kempen anti-dadah," ujar vokalisnya, Tia yang ditemui sejurus selepas berakhirnya majlis tersebut.

Mengulas mengenai dakwaan terlibat dengan dadah, kata Tia, berita tersebut benar-benar meninggalkan kesan buat kumpulan ini.

Bukan saja undangan persembahan yang diterima mereka agak berkurangan, malah bisnes yang dijalankan kumpulan ini seperti chalet, penternakan ikan dan kambing juga turut terjejas gara-gara laporan itu.

"Dulu undangan show yang kami terima, boleh tahan banyaknya. Tapi sekarang agak kurang. Kejadian itu sedikit sebanyak telah menjejaskan kami.

"Sehingga sekarang, saya masih terima panggilan dan ada rakan-rakan yang hubungi saya untuk mendapatkan kepastian tentang perkara itu.

"Malah, kami bersedia untuk lakukan ujian air kencing untuk buktikan kami tidak terlibat dengan dadah," kata Tiar dalam nada kesal.

Ditanya sama ada mereka akan mengambil tindakan terhadap laporan yang tidak tepat itu, kata Tia, buat masa ini mereka tidak terfikir untuk memperbesarkan lagi perkara tersebut.

"Kami tunggu saja apa syarikat rakaman yang kami bernaung, Warner Music akan buat nanti. Kalau boleh, kami ingin selesaikan dengan cara yang baik, tidak perlu lah sehingga saman-menyaman.

"Lagipun antara artis dan media saling memerlukan. Memang ada ralat yang ditulis di dalam akhbar itu kemudiannya, tetapi kami ingin mereka meminta maaf bagi menjernihkan keadaan," katanya.

Ujar Tia lagi tentang acara potong rambut itu, dia sedar pasti ramai yang akan mempertikaikan tentang perkara itu apatah lagi rambut yang dipotong itu hanya sedikit saja dan masih dilihat tidak jauh beza dengan sebelum ini.

Namun begitu, katanya, acara itu dianggap sebagai satu permulaan buat Jinbara tampil dengan imej yang lebih 'bersih'.

"Jinbara sudah lama dikenali dengan imej rambut panjang. Chepot sendiri tidak pernah potong rambutnya sejak 18 tahun lalu, sebab itu kami anggap ini adalah satu pengorbanan yang besar buat kami.

"Saya mungkin akan potong lagi nanti, tapi tidak boleh potong pendek terus kerana takut peminat 'lari'," tutur Tia yang menambah mereka ketika ini sedang sibuk membuat promosi album terbaru, Suara Kita.

Acara memotong rambut itu telah dibuat oleh lima peminat bertuah Jinbara dan selebihnya ia disempurnakan oleh pendandan rambut profesional dari RAM Studio.

Jinbara turut menghiburkan khalayak dengan beberapa buah lagu selepas itu.

Dengan usahasama Era.FM, satu pertandingan mengarang lirik juga sedang rancak diadakan yang berdasarkan anti-dadah dengan menggunakan irama muzik Zakiah Zakiah.

Pemenang akan menerima sebuah gitar berjenama yang akan ditandatangani oleh kesemua ahli kumpulan itu.

Dalam pada itu, Chepot turut melahirkan perasaan kesal dengan laporan yang mengaitkan dirinya ditangkap kerana penyalahgunaan dadah.

"Masyarakat sudah beranggapan orang itu adalah saya. Bila saya baca akhbar itu yang mengaitkan dengan Jinbara, saya rasa amat tidak puas hati.

"Kami harap apa yang kami lakukan hari ini dapat membuatkan orang kenal siapa sebenarnya Jinbara. Kami bukan suka-suka nak tunjuk pada orang bahawa kami juga boleh potong rambut.

"Kami terpaksa untuk membersihkan nama kami, sehinggakan bisnes yang kami buat bersama turut terjejas. Perkara ini tidak sepatutnya terjadi.

"Jinbara sudah bermula sejak 18 tahun lalu dan saya sudah berbelas tahun tidak pernah memotong rambut saya. Saya tidak nampak itu satu masalah besar.

"Tetapi itulah yang sedihnya bila orang memandang seni seperti ini adalah tidak sihat," kata Chepot.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain