suria

Suridah Jalaluddin Ketua Pegawai Eksekutif ntv7

SURIDAH Jalaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif Big Tree Outdoor Sdn Bhd, bakal menerajui ntv7 sebagai Ketua Pegawai Eksekutif barunya mulai 1 Disember 2008.

Beliau menggantikan Datuk Anthony Bujang yang telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baru New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP).

Pengasas dan juga pemegang saham Big Tree, Suridah memulakan kerjayanya dalam bidang Perhubungan Awam & Pengiklanan bersama pelopor stesyen TV swasta Malaysia, TV3 selama tiga tahun. Seterusnya, beliau menyambung pelajarannya di United Kingdom dan bekerja di L’Oreal UK.

Sekembalinya di Malaysia, beliau menyertai sebuah agensi pengiklanan tempatan selama tujuh tahun sebelum menubuhkan Big Tree iaitu perintis syarikat media luar di Malaysia pada tahun 1994.

Sepanjang penglibatannya selama lima belas tahun di Big Tree, Suridah telah membawa syarikat pengiklanan luar itu ke tahap yang membanggakan. Big Tree merupakan syarikat pengiklanan luar terunggul dengan bahagian pasaran yang terbesar. Pemimpin dinamik ini memiliki dua portfolio di bawah Kumpulan Media Prima; iaitu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ntv7 serta Pengarah Eksekutif Big Tree.

“Saya amat berbangga apabila diamanahkan dengan tanggungjawab baru di ntv7, stesyen TV yang terserlah sebagai stesyen TV pilihan untuk golongan penonton arif dan urban, ” kata Suridah.

“Saya berharap untuk terus menimba ilmu dalam bidang penyiaran dengan bantuan pasukan ntv7. ntv7 telah berjaya muncul sebagai jenama ekuiti unggul dalam pasaran dan stesyen TV pilihan di kalangan penonton. Oleh yang demikian, saya berharap untuk terus mengukuhkan kedudukannya,” tambahnya.

ntv7 turut mengumumkan perlantikan Airin Zainul sebagai Pengurus Besar stesyen. Terdahulunya, Airin merupakan Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama, Pembangunan Perniagaan, Pemasaran dan Komunikasi ntv7.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bienda mula langkah baru

Artikel Lain