suria

Kes status perkahwinan AzizRadhiah dipindah ke Mahkamah Tinggi Syariah

[DIKEMAS KINI] KUALA TERENGGANU: Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam memutuskan supaya kes status perkahwinan produser Aziz M. Osman, 46 dan isterinya, Nor Radhiah Ramli, 22 dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Menurut peguam Aziz, Amli Embong, keputusan tersebut dibuat kerana Mahkamah Tinggi Syariah lebih mempunyai bidang kuasa dan kompeten untuk membicarakan kes ini berbanding Mahkamah Rendah Syariah.

Tambahnya, Aziz juga akan menyerahkan afidavit sebagai jawapan kepada permohonan tersebut di mahkamah di sini pada Ahad ini.

“Pihak Mahkamah Tinggi Syariah di sini akan memberitahu tarikh untuk mendengar semula perbicaraan ini nanti,” beritahu Amli ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Dalam perbicaraan tersebut, Aziz hadir bersama Amli dan dua orang anaknya tanpa isterinya, Radhiah.

Kata Aziz yang baru mengetahui perbicaraan tersebut pada Khamis lalu,dia berasa hairan apabila Radhiah tidak menghadiri perbicaraan tersebut.

“Apabila saya hubunginya, Radhiah berkata dia tidak dimaklumkan oleh pihak mahkamah yang dia perlu datang pada hari ini sedangkan saya sendiri telah mendapat surat saman melalui Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya yang menyuruh saya datang ke sini pada hari ini.

“Saya tertanya kenapa dia hendak mempertahankan diri. Saya tidak menyerang dia tetapi hanya nak rujuk sama ada perkahwinan kami sah atau tidak.

“Saya fikir penilaian ini perlu dilakukan kerana status perkahwinan kami mempunyai kesangsian dari segi soal hukum dan ‘teknikal’,” ujar Aziz.

Surat saman tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini setelah Radhiah memfailkan borang permohonan pengesahan perkahwinan mereka di mahkamah tersebut pada 4 November lalu.

Amli menambah, alasan status perkahwinan Aziz dan Radhiah dibawa ke mahkamah kerana ia menimbulkan kesan yang menyentuh soal hukum agama dan undang-undang.

“Walaupun pihak Radhiah ‘melawan’ dengan memberi kenyataan perkahwinannya dan Aziz adalah sah, tetapi kami perlu juga memberi hujah mengenai kes ini kerana ia memberi kesan yang menentukan sama ada perkahwinan mereka tidak sah atau batal dan boleh jadi sah,” kata Amli.

Menurut Amli, kes perkahwinan Radhiah dan Aziz ini merupakan antara kes unik dan pertama kali disebarkan secara meluas.

“Ia lebih elok jika disebarkan secara ilmiah untuk dikongsi bersama kerana mungkin ramai yang tidak tahu kes seperti ini,” tuturnya.

Aziz juga turut bersetuju dengan hal tersebut dan berkata: “Perkara ini ilmiah. Saya pun tak tahu keadaan akan jadi macam ini sehinggalah ada seorang hamba Allah ni menasihatkan saya merujuk hal ini kepada peguam.”

Aziz turut menafikan yang isu perkahwinannya timbul kerana ada campur tangan daripada pihak lain.

Sebelum meninggalkan mahkamah, Aziz berkata dia akan berjumpa dengan Radhiah pada hari ini.

Sementara itu, Radhiah ketika dihubungi menyatakan alasan dia tidak hadir kerana tidak mendapat makluman daripada pihak mahkamah yang meminta dia hadir pada hari tersebut.

“Saya tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana mengalami ‘kesilapan teknikal’.

“Saya ingatkan mahkamah akan maklumkan kehadiran saya melalui surat. Jadi, saya tunggu sahaja tanpa bertanya pihak mahkamah mengenai hal ini,” jelas Nor Radhiah Ramli, 22 ketika dihubungi setelah tidak menghadirkan diri ke Mahkamah Rendah Syariah hari ini.

Menurut Radhiah, dia baru mengetahui berita yang dia sepatutnya tampil ke mahkamah pada hari ini selepas Aziz menghubunginya pagi tadi.

“Abang Aziz pun tak bagitahu saya yang dia nak datang ke mahkamah hari ini. Abang Aziz kata dia baru mendapat tahu pagi tadi selepas mendapat surat dari mahkamah sini (Mahkamah Rendah Syariah).

“Dia hanya bersiap sedia sahaja untuk datang hari ini selepas dimaklumkan kes ini berkemungkinan dibicarakan hari ini.

“Saya rasa terkilan sebab tak dapat hadir ke mahkamah dan sepatutnya saya lebih tahu daripada dia.

“Kalau boleh saya nak hal ini cepat selesai. Keputusan sama ada perkahwinan kami sah atau tidak, semuanya saya serahkan kepada pihak mahkamah yang tentukan. Jadi, kita tunggu sahaja episod seterusnya selepas ini,” kata Radhiah yang baru menemui Aziz tengah hari tadi di Kampung Losong, Kuala Terengganu.

Kata Radhiah, walaupun pertemuannya dan Aziz singkat, namun hatinya sedikit teruja kerana sekurang-kurangnya dia dapat melepaskan rindu setelah tidak berjumpa dengan suaminya itu sejak Hari Raya Aidilfitri lalu.

Sebelum ini, mereka hanya berhubung melalui telefon bimbit dan internet.

“Saya seronok dapat berjumpa dengan Abang Aziz dan anak-anaknya hari ini. Ketika kami berjumpa, sikap dan cara dia melayan saya masih sama seperti dulu,” cerita Radhiah dalam nada ceria.

Menyentuh mengenai kes perbicaraannya pada masa akan datang, Radhiah turut berkata dia merancang mengupah peguam untuk memudahkan perbicaraannya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini nanti.

Semalam, ketika ingin mendapatkan kepastian mengenai kes perbicaraan Aziz dan Radhiah pada hari ini, kedua-duanya memberitahu tidak mendapat apa-apa makluman daripada pihak mahkamah.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------

Kronologi kontroversi perkahwinan Aziz dan Radhiah

9 hingga 20 Mac 2008 - Nor Radhiah Ramli, 22 dan Aziz M. Osman, 46 berkenalan ketika mengerjakan umrah di Mekah.

4 April 2008- Radhiah dinikahkan dengan lelaki berusia 28 tahun oleh jurunikah tidak bertauliah di Pengkalan Kubur, Kelantan secara wali hakim tanpa pengetahuan ibu bapanya.

28 Julai 2008- Perkahwinan Radhiah yang pertama dahulu terbatal dan dianggap tidak sah. Mahkamah Syariah Kuala Terengganu telah mengeluarkan surat pembatalan 'perkahwinan' tersebut. Namun, surat ini hanya diterima selepas Radhiah berkahwin dengan Aziz.

16 Ogos 2008- Aziz dan Radhiah dinikahkan sendiri oleh bapa Nor Radhiah, Ramli Yusuf, 52, disaksikan oleh Jurunikah Mukim Batu Rakit yang juga merupakan bapa saudara Nor Radhiah, Ismail Yusof, 63.

14 September 2008- Sijil perkahwinan Radhiah dan Aziz dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu.

2 November 2008- Sebuah akhbar mingguan mengeluarkan kenyataan ibu Aziz, aktres Afida Es mengenai perpisahan Aziz dan Radhiah dan menganggap perkahwinan mereka tidak sah kerana katanya Radhiah masih dalam 'edah' seperti yang diberitahu 'bekas suaminya'.

3 November 2008- Radhiah merujuk status perkahwinan mereka di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu dan hakim memintanya mengisi borang permohonan pengesahan perkahwinan.

4 November 2008- Radhiah menyerahkan borang tersebut di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu dan kembali mendengar sebutan kes selepas 21 hari.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain