suria

Catriona Ross bertunang esok

PETALING JAYA: Aidilfitri tahun ini lebih bermakna buat pelakon Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross atau popular dengan nama Catriona Ross, 28 kerana dia bakal melangsungkan pertunangan dengan lelaki yang dikenali sebagai Shahar pada esok.

Keluarga bakal tunangannya dijangka bertandang ke rumah keluarga Cat di Kota Bharu, Kelantan pada pukul 4.30 petang dengan membawa tujuh dulang hantaran.

Pihak Cat akan membalas dengan sembilan hantaran.

Enggan mengulas lanjut identiti bakal tunangnya iaitu pengarah program di Astro itu, Cat berkata dia akan bercerita tentang bakal tunangnya itu sesudah majlis pertunangannya selesai.

Cat juga tidak boleh bercerita lagi tentang tempoh pertunangan mereka memandangkan keputusan belum diputuskan sehinggalah perbincangan kedua-dua belah pihak dilakukan pada majlis pertunangan itu nanti.

"Saya belum boleh putuskan tentang berapa lama kami akan bertunang. Saya dan Shahar ada juga berbincang tetapi semuanya bergantung kepada perbincangan kedua belah keluarga kami. Saya tak kisah sama ada bertunang dalam tempoh yang lama atau sekejap," ujar Cat yang mengenali Shahar kira-kira sembilan bulan lalu dalam satu sesi fotografi.

Bercerita tentang majlis pertunangannya nanti, Cat memilih untuk mengadakan majlis tersebut mengikut tradisi Melayu.

"Saya suka kalau majlis pertunangan saya nanti dibuat mengikut tradisi Melayu di mana pihak lelaki akan berbincang dengan keluarga saya diikuti dengan sesi menyarungkan cincin," beritahu Cat lagi mengenai majlis yang dijangka hanya dihadiri oleh keluarga kedua belah pihak dan rakan terdekat. Cat juga tidak keberatan untuk menerima tetamu dari kalangan media pada sebelah petangnya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Cat sempat menitipkan kata-kata akhirnya dengan penuh mengharap.

"Saya doakan majlis pertunangan esok berjalan dengan lancar. Harap-harap sangat bakal tunang dan keluarganya gembira untuk menerima saya." luah Cat yang sangat teruja untuk melangsungkan majlis pertunangannya berbanding menyambut Hari Raya.

Namun, selain gembira kerana bakal bertunang esok, anak kacukan Scotland-Melayu ini turut berasa gembira kerana raya kali ini dia sudah boleh berjalan.

Sebelum ini, Cat memerlukan tongkat untuk bergerak setelah terlibat dalam kemalangan kereta di Kilometer 230.8, Lebuh Raya Utara Selatan pada 14 April 2007.

Artikel Sebelum

Chance to win free tickets

Artikel Lain