suria

Selepas Taiwan, Farah tawan Hong Kong pula

Farah seronok kendalikan program Rasa Halal Orient di Astro Oasis.- foto THE STAR oleh AZMAN GHANI
Farah seronok kendalikan program Rasa Halal Orient di Astro Oasis.- foto THE STAR oleh AZMAN GHANI
Farah seronok kendalikan program Rasa Halal Orient di Astro Oasis.- foto THE STAR oleh AZMAN GHANI

SELEPAS terbabit dalam mengacarakan program Rasa Halal Orient di Xian, China, penyanyi kecil molek Farah Diana Anuar atau dikenali dengan nama Farah Breep Breep ini kembali mengacara program tersebut dengan destinasi yang baru pula.

Pada Julai lalu, Farah diterbangkan ke Taiwan untuk menjayakan program Rasa Halal Orient: Taiwan yang telahpun disiarkan pada 5 September lalu.

Bercerita tentang pengalaman yang dirasai oleh Farah apabila berada di Taiwan, kata Farah, Taiwan lebih maju dan moden berbanding Xian, China.

"Saya menjelajah ke setiap destinasi di Taiwan dengan menaiki kereta. Perjalanannya agak jauh ibarat dari Perlis ke Johor. Tentang cuaca pula, memang sangat berbeza kerana cuaca di sana agak panas berbanding di China.

"Farah perhatikan tidak ramai orang Muslim di sana berbanding di Xian. Alhamdulillah, Farah tidaklah cerewet tentang makanan apabila awal-awal lagi Farah dah fikir positif agar tidak menghadapi kesukaran untuk makan. Ketika di sana, Farah suka makan Dumpling (ala-ala karipap) yang digoreng dan ada yang direbus dan udang goreng tepung yang rangup," ujar Farah.

Bercerita tentang makanan, program travelog ini masih mengekalkan konsep yang sama iaitu membawa penonton mendekati menu dan masakan tradisi penduduk Taiwan seperti bandar Taipei,Tao Yuan dan Kenting.

"Motif dan peranan utama program ini adalah untuk mencari makanan halal. Jadi, kita masih mengekalkan cara yang sama. Kami telah menjejaki restoran dan orang Islam di sana. Mereka lebih mengamalkan makanan seperti sayur-sayuran, kurang minyak dan banyak menggunakan daging lembu.

"Daging lembu amat mudah untuk didapati di sana kerana terdapat sebuah kilang mengimport dan mengeksport daging dan ayam yang halal," beritahu Farah yang turut cuba memasak makanan Taiwan di rumah kerana ia mudah dan cepat.

Dimaklumkan, gadis berusia 23 tahun ini akan ke Hong Kong pula pada Hari Raya kelapan nanti untuk menjalani pengambaran program yang sama.

Bertanya tentang proses rakaman album kedua Farah, katanya, dia akan kembali ke studio untuk rakaman semula lagu-lagu yang telah dirakamkan sebelum ini.

"Sebenarnya, lagu ciptaan Aidit Alfian dah siap dirakam tetapi lagu tersebut perlu diberi sentuhan yang lain dan diubahsuai untuk menjadikan album saya nanti lebih menarik dan berkualiti.

"Album tersebut memuatkan lapan buah lagu sahaja. Ada beberapa buah lagu yang ditolak dan ditambah dengan lagu baru ciptaan komposer Edrie Hashim.

"Namun, tajuk album ini belum diberikan lagi. Saya harap album ini akan diterbit dan dijual sebelum hujung tahun ini," tutur Farah yang bakal menyambut Hari Raya Puasa nanti di Kedah.

Saksikan Farah dalam program Rasa Halal Orient: Taiwan pada Hari Raya Ketiga di Astro Oasis.

Artikel Sebelum

Sazzy Falak bijak atur strategi

Artikel Berikut

Artikel Lain