suria

The Fabulous Cats fokus kepada Muzikal Impak Maksima

The Fabulous Cats kembali bangkit daripada kontroversi lagu 'Papa Jahat'. (Foto The Star oleh Mohd. Sahar Misni)
The Fabulous Cats kembali bangkit daripada kontroversi lagu 'Papa Jahat'. (Foto The Star oleh Mohd. Sahar Misni)
The Fabulous Cats kembali bangkit daripada kontroversi lagu 'Papa Jahat'. (Foto The Star oleh Mohd. Sahar Misni)

KUMPULAN The Fabulous Cats pernah dipalit kontroversi sejak mula dikenali dua tahun lalu ketika mereka mempertaruhkan lagu Papa Jahat dalam album pertama mereka.

Realitinya, kumpulan ini tidaklah terus dihukum walaupun dilanda kontroversi akibat lirik lagu yang berbaur lucah itu.

Ketepikan kontroversi yang melanda mereka, kini kumpulan yang dianggotai oleh Farish Ramli (Cat Farish), Luqman Nur Hakim (DJ Sumo), Farhana Razali (Ana) dan Abdul Mutalib (Adeep) kembali bangkit dan mekar bagai malar segar di dalam industri seni ini.

Asalnya, kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2004 ini kembali bersinar selepas lagu terbaru mereka iaitu Bawaku Terbang yang dimuatkan dalam album kedua mereka iaitu Hyperkosmik meletup di corong-corong radio sekali gus popular termasuk lagu Lepas iaitu lagu tema drama bersiri Ezora arahan Ahmad Idham.

Melalui kejayaan tersebut, mereka sekali lagi bakal menggamatkan suasana apabila terpilih untuk bekerjasama dalam teater Muzikal Impak Maksima yang juga diarahkan oleh Ahmad.

Memandangkan ini merupakan kali pertama mereka terlibat dalam persembahan teater sama ada lakonan mahupun susunan muzik, Dj Sumo mewakili rakan-rakannya yang lain berasa berdebar dan tercabar dengan pengalaman baru tersebut.

"Dalam teater ini, saya dipertanggungjawabkan untuk membantu Cat Farish dari segi muzik. Cat ditugaskan sebagai pengarah muzik di mana dia perlu membuat banyak susunan muzik.

"Adeep dan Ana akan berlakon sambil menyanyi dan menari dalam teater tersebut. Adeep membawakan watak seorang mat rempit dan Ana pula membawakan watak kawan kepada Mira.

"Kami dah mula membuat latihan sekarang kerana persembahan tu pun dah nak dekat iaitu pada November ini.

"Apabila terlibat dalam teater ni, saya merasai kelainannya sebab sebelum ini kami membuat persembahan lagu dan tarian sahaja. Tetapi kali ini setiap lagu yang dinyanyikan oleh pelakon mempunyai karektor tersendiri.

"Jadi, muzik yang dihasilkan juga perlu mengikut jiwa dan karektor yang bakal dipersembahkan oleh pelakon-pelakon tersebut," kata Dj Sumo sekali gus berbangga dengan Cat Farish yang bakal menjadi antara nama-nama besar seperti pengarah muzik Ramli MS dan Pak Ngah Suhaimi yang pernah mengarah muzik di Istana Budaya.

Hyperkosmik dijual secara 'online

Album kedua mereka berjudul Hyperkosmik telah pun berada di pasaran mulai 8 Ogos lalu. Jika ada yang telah memiliki album ini, mungkin merasai kematangan yang ditampilkan oleh The Fabulous Cats berbanding album terdahulu iaitu Fantastik.

Hyperkosmik menampilkan Kombat Pilgrims, Shah Slam, Soul. I.D dari Jakarta, Dj Fuzz dan memperkenalkan artis terbaru Cat Presents Production iaitu Xema dengan lagu-lagu terbaru dan pastinya meletup seperti Bawaku Terbang, Lepas (lagu tema Ezora), Slot Akasia, Ratu Novella dan Telefoto Layar Liar. Sebanyak 10 buah lagu dimuatkan dalam album ini.

Untuk pembelian album melalui emel, bolehlah hantarkan pesanan di [email protected] dengan hanya RM28 termasuk penghantaran Pos Laju Malaysia atau boleh juga dapatkan maklumat lanjut dengan melayari www.myspace.com/thefabulouscats.

Bukan lupa lagu 'Papa Jahat

"Dahulu, orang kenal The Fabulous Cats melalui lagu Papa Jahat. Jadi, kali ini kita ingin tampilkan bunyi yang lebih matang tetapi masih mengekalkan konsep yang sama dan mesra pendengar.

"Bukan kita hendak melupakan lagu Papa Jahat tetapi kita nak biar lagu-lagu terbaru kali ini lebih matang.

"Kalau muzik dulu, kita campurkan pelbagai muzik seperti swing dan hip hoptetapi kali ini kita pelbagaikan muzik dengan memasukkan irama disko dan lain-lain lagi," ulas Dj Sumo yang berbakat dalam memberi idea, stretching dan mencantikkan muzik.

Selepas Aidilfitri, The Fabulous Cats akan menjayakan mini tour di lima buah bandar besar untuk mempromosikan album-album mereka sekaligus menjualnya dari tangan ke tangan.

Bersaing secara sihat dengan One Nation Emcees

Dengan kemunculan kumpulan hip hop terbaru, One Nation Emcees kelahiran program Gang Starz musim kedua yang menjuarai program tersebut baru-baru ini, The Fabulous Cats akan bersaing secara sihat dengan mereka sebagaimana kumpulan-kumpulan lain seperti Ahli Fiqir.

"Kami akan mengamalkan persaingan yang sihat dan berkarya dengan cara tersendiri," akhiri Dj Sumo.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain