suria

24 Jam Selepas Kematian Carrie Fisher, Ibunya Debbie Reynolds Pula Meninggal Dunia

Debbie Reynolds (kiri) meninggal dunia sehari selepas kematian anak perempuannya, pelakon filem Star Wars, Carrie Fisher.

LEGENDA filem Hollywood Debbie Reynolds meninggal dunia pada Rabu sehari selepas kematian anak perempuannya iaitu pelakon Carrie Fisher, lapor media Amerika Syarikat.

Debbie, 84, dilaporkan rebah di kediaman anak lelakinya, Todd Fisher di Beverly Hills akibat diserang penyakit angin ahmar sebelum dikejarkan ke hospital.

Todd memberitahu Variety, ibunya itu sempat memberitahu dia mahu 'bersama' Carrie.

TMZ dalam satu laporan pula melaporkan Debbie mengalami tekanan perasaan sejak kematian Carrie yang berusia 60 tahun akibat serangan jantung ketika berada dalam penerbangan dari London ke Los Angeles.

Aktres terkenal itu dikatakan berada di rumah Todd untuk membincangkan tentang urusan pengebumian anak perempuannya sebelum tiba-tiba diserang angin ahmar.

Carrie yang terkenal dengan watak Puteri Leia Organa dalam filem Star Wars meninggal dunia pada pukul 8.55 pagi Selasa.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba Los Angeles memberitahu AFP, paramedik berkejar ke kediaman Todd untuk memberi bantuan kira-kira pukul 1 petang.

Bagaimanapun jurucakap itu tidak membuat sebarang pengesahan berhubung keadaan Debbie dah hanya memberitahu 'seorang wanita berada dalam keadaan serius' telah dihantar ke hospital.

Debbie yang menerima Anugerah Kemanusiaan Jean Hersholt tahun lalu, pertama kali menawan hati penonton pada tahun 1952 melalui filem berjudul Singin' in the Rain.

Dia kemudiannya dicalonkan untuk anugerah Oscar dan membantu mengasaskan kumpulan yang berfungsi untuk memerangi isu-isu kesihatan mental.

Artikel Berikut

Artikel Lain