suria

Ken Watanabe Disahkan Hidap Kanser Perut

Ken Watanabe mendedahkan hidap kanser perut.
PELAKON Ken Watanabe disahkan menghidapi kanser perut peringkat awal selepas dia melakukan pemeriksaan kesihatan baru-baru ini.

Huffington Post‎ melaporkan Ken, 56, mendedahkan perkara itu menerusi laman sosial Twitter miliknya pada Rabu lalu sejurus selepas memberitahu terpaksa membatalkan kemunculannya dalam teater muzikal The King and I.

Bagaimanapun Ken berjanji akan melawan penyakit dihidapinya itu dan akan kembali bertemu peminat.

"Saya tidak mahu buat anda risau, tetapi jangan bimbang saya akan kembali," tulisnya.

Ken dijadualkan bakal membuat kemunculan dalam teater muzikal itu pada 1 Mac hingga 17 April depan.

Pelakon berasal dari Tokyo, Jepun itu turut memberitahu dia sangat berterima kasih kepada isterinya, Kaho Minami dan anak mereka yang memintanya melakukan pemeriksaan dan menjaganya dengan baik.

Dalam perkembangan sama, pihak pengurusan pelakon itu dalam satu kenyataan memberitahu Ken akan menjalani pembedahan endoskop bagi merawat kanser berkenaan.

Untuk rekod, Ken pernah menghidap lukemia kira-kira 20 tahun lalu namun dia berjaya pulih daripada penyakit berbahaya itu.

Selain mempunyai kerjaya lakonan di Jepun, Ken antara pelakon dari Asia yang berjaya menempa nama di Amerika Syarikat menerusi filem seperti Batman Begins, Inception, Godzilla dan Letters From Iwo Jima.

Sepanjang kariernya, Ken pernah menerima pencalonan dalam kategori Pelakon Pembantu Terbaik Anugerah Akademi menerusi filem The Last Samurai.
Ken Watanabe

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain