suria

Jualan Kereta Proton Meningkat Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd merekodkan jualan sebanyak 12.5 peratus setakat tahun ini dengan sejumlah 56,297 unit keretanya dijual berbanding 50,091 unit bagi tempoh sama tahun lepas.

Walaupun berlaku penyusutan jumlah jualan kereta pada September berikutan cuti umum di Malaysia, jumlah keseluruhan industri (TIV) meningkat 1.7 peratus kepada 425,711 unit berbanding 418,277 unit pada tahun lepas, kata pengeluar kereta nasional itu dalam satu kenyataan.

“Proton mendapat manfaat hasil rancangan pelancaran kereta model Saga dan Persona masing-masing pada Ogos dan September 2016," kata Naib Presiden Jualan dan Pemasarannya, Abdul Rashid Musa.

Beliau berkata menerusi usaha penambahbaikan terhadap kedua-dua model itu, Proton berjaya meningkatkan jualan kereta dengan sebahagian besarnya disumbangkan oleh Saga dan Persona, masing-masing sebanyak 42.7 peratus (24,061 unit) dan 27.4 peratus (15,448 unit) bagi jualan kereta keseluruhan syarikat setakat ini.

“Prestasi kedua-dua kereta ini juga lebih baik berbanding 2016 dengan peningkatan sebanyak 9,661 unit. Malah, peningkatan Persona mencecah 90 peratus setakat ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Usaha kami untuk mendekatkan kereta Proton dengan pengguna sudah mula menunjukkan hasil," katanya.

Beliau berkata, Proton juga telah mengadakan siri jelajahnya secara agresif, termasuk di kawasan sibuk khususnya pada hujung minggu selain faktor ciri-ciri keselamatan utama kereta berkenaan yang menarik minat orang ramai.

“Ini merupakan petanda positif untuk Proton dan atas alasan inilah kami memerlukan  rakan  niaga yang baik untuk memastikan Proton terus kekal berdaya saing dalam pasaran.

“Kami juga menyedari perubahan yang akan berlaku dan dengan adanya rakan sedemikian, kami akan terus bekerjasama bagi menghasilkan keputusan yang positif," katanya.

Proton turut melanjutkan promosi 'Amazing 5' yang menawarkan servis percuma serta jaminan masing-masing selama lima tahun untuk pembelian kereta keluarannya di seluruh negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain