suria

Maxis Catat Prestasi Kukuh

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd mencapai prestasi keseluruhan sukuan yang kukuhapabila merekodkan perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda); margin Ebitda (bagi perolehan perkhidmatan) dan keuntungan selepas cukai (PAT) tertinggi dalam tempoh lima tahun, pada suku ketiga berakhir 30 September 2017.

Dalam kenyataan hari ini, Maxis berkata, Ebitda berkembang 5.0 peratus kepada RM1.20 bilion daripada RM1.14 bilion yang dicatat pada suku yang sama 2016, sekali gus menunjukkan usaha pengoptimuman kos telah membawa kepada perolehan lebih tinggi dan keputusan kewangan positif.

“Margin Ebitda (bagi perolehan pendapatan) kukuh pada 55.8 peratus berbanding 54.1 peratus tahun lepas, manakala keuntungan bersih meningkat 8.3 peratus kepada RM562 juta berbanding RM519 juta disokong oleh Ebitda lebih tinggi.

“Perolehan perkhidmatan meningkat 2.0 peratus pada suku ini kepada RM2.15 bilion berbanding RM2.11 bilion yang dicatat setahun lepas, didorong oleh pasca bayar yang mencatat pertumbuhan mapan.

“Pasca bayar mencapai pertumbuhan 9.3 peratus dengan perolehan RM1.06 bilion berbanding RM965 juta pada tahun lepas,” menurut Maxis.

Ketua Pegawai Eksekutif, Morten Lundal berkata: “suku ketiga 2017 merupakan tempoh yang kukuh bagi Maxis, dengan mencapai keuntungan sukuan tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Selain itu, rekod permintaan tinggi terhadap data dan rangkaian berkualiti tinggi kami telah meraih skor kepuasan pelanggan tertinggi sepanjang  masa.” -- Bernama

Maxis

Artikel Sebelum

Artikel Lain