suria

SP Setia Jangka KL Eco Dilancar Berperingkat Tiga Tahun

SP Setia Bhd bakal memperkenalkan Bangsar Market di KLEC Mall bertempat di KL Eco City. Dari kiri: Ketua Operasi Pasar Segar dan Pembangunan Bisnes Makanan & Minuman Jaya Grocer, Marc Francois, Jaya Grocer, Ketua Pegawai Operasi, Molly Loh dan Pengurus Besar Bahagian SP Setia Bhd Tony Ling.

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, SP Setia Bhd, menjangka 40 peratus projek Kuala Lumpur Eco City (KL Eco City) yang terdiri daripada unit kediaman dan pejabat bertingkat, akan dilancarkan secara berperingkat bagi tempoh tiga tahun akan datang, mulai tahun ini.

Pengurus Besar Bahagian SP Setia, Tony Ling Thou Lung berkata setakat ini, 60 peratus daripadasegmen unit kediaman, pejabat dan runcit telah dibeli.

“Segmen runcit mencatat kadar pembelian sebanyak 60 peratus, daripada jumlah itu 20 peratus telah dibeli oleh rantaian runcit Jaya Grocer.

“Kami menjangkakan kadar pembelian mencatat antara 80 dan 90 peratus pada suku pertama 2018 selepas pusat beli belah itu dibuka kepada awam,” katanya kepada pemberita selepas pengenalan program ‘Bangsar Market by Jaya Grocer' secara rasmi di sini, Selasa.

Thou Lung berkata, ‘Bangsar Market', akan mengambil keseluruhan kawasan di tingkat dua bangunan lima tingkat KLEC Mall, yang dijadual dibuka pada suku pertama 2018.

‘Bangsar Market' diinspirasikan oleh Camden Market dan Borough Market di London serta Queen Victoria Market di Melbourne.

Menurut Thou Lung, syarikat itu telah melabur kira-kira RM200 juta untuk membina jalan dan jambatan ke pusat beli belah itu.

Projek pembangunan bercampur di Jalan Bangsar itu meliputi kawasan 10.12 hektar dan ia mempunyai nilai pembangunan kasar (NPK) RM7 bilion.

Ia merupakan pembangunan mewah hijau bersepadu pertama yang akan disokong oleh pejabat komersial utama, outlet runcit serta menara kediaman dan pangsapuri berperkhidmatan  mewah.

Setakat 30 Jun, 2017, SP Setia mempunyai 31 projek yang sedang dijalankan dan baki simpanan tanah       sebanyak 2,206.35 hektar dengan NPK keseluruhan RM80 bilion.-- Bernama

SP Setia, KL Eco

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain