suria

Kaedah Ternak Ikan Keli Afrika Di Membakut Tarik Perhatian

KOTA KINABALU: Kaedah menternak ikan keli spesies Afrika oleh seorang pengusaha di Kampung Limadang, Membakut, kira-kira 79 kilometer dari sini, terutama dari segi penyediaan makanan ternakan menarik perhatian Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ternakan secara kecil-kecilan yang diusahakan Nurliza Mait Abdullah cuma menggunakan bahan-bahan asas tempatan seperti daun ubi, tepung dan kepala ikan bilis sebagai formula penyediaan makanan ternakannya yang bukan sahaja murah malah boleh meningkatkan margin pendapatan pengusahan berkenaan.

"Saya tertarik dengan modal perniagaan oleh Puan Nurliza dalam mengendalikan ternakan ikan air tawar khususnya keli dan tilapia. Saya belajar sesuatu hari ini kerana beliau mengendalikan dua tiga perkara penting dalam rangkaian nilai industri ini.

"Bukan sahaja (ternak) ikan tetapi juga membuat induk untuk menghasilkan anak-anak ikan. Lebih menarik, Puan Nurliza telah mencipta sendiri makanan ikan yang dianggap lebih murah dan kompetatif dengan menggunakan bahan-bahan tempatan, termasuk daun ubi, tepung dan juga kepala ikan bilis sebagai sumber makanan ikan ini," katanya.

Ahmad Shabery berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kolam ternakan ikan keli Nurliza di Kampung Limadang, Membakut hari ini. Turut mengiringi lawatan beliau ialah Menteri Luar yang juga Anggota Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman.

Menurut Ahmad Shabery, satu daripada cabaran utama yang dihadapi petani yang terlibat dalam sektor industri ternakan ikan di negara ini ialah penyediaan makanan ternakan yang menggunakan bahan asas seperti jagung dan kacang soya serta perlu diimport.

Justeru katanya, pihak kementerian akan menghantar satu pasukan untuk mengkaji formula yang digunakan Nurliza bagi meneliti bagaimana kaedah berkenaan boleh dikembangkan untuk digunakan secara meluas malah untuk mempatenkan formula itu jika perlu.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata masa depan industri akuakultur di Sabah, termasuk industri ternakan ikan air tawar, begitu cerah kerana kawasan perairan Sabah yang luas serta masih bersih.

Katanya pada masa ini Sabah merupakan antara negeri pengeluar hasil akuakultur terbesar di negara ini dengan hasil berkenaan dieksport ke Amerika Syairikat, Jepun, China dan Hong Kong.

Bagi ternakan air tawar sahaja, Sabah kini mengeluarkan kira-kira 3,500 matrik tan setahun dan dijangka meningkat kepada 8,300 tan metrik setahun menjelang tahun 2020 dengan nilai dianggarkan RM125 juta.

Sementara itu Nurliza , selain mengucapkan terima kasih kepada pihak kementerian kerana memberi perhatian kepada perusahaannya, berkata beliau mampu menghasilkan 50 kilogram (kg) hasil ternakan sebulan berbanding permintaan iaitu 50 kg seminggu.

Pada masa ini katanya, beliau memperoleh antara RM1,200 hingga RM2,000 sebulan hasil daripada industri ternakan itu.

Artikel Lain