suria

Cervisafe Mahu Tembus Pasaran Afrika, India & Asean Tahun Ini

Pegawai Tadbir Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (Care) Universiti Putra Malaysia, Syaakiratul Hasanah Rossidi menunjukkan kit set Cervisafe ketika Seminar Kesedaran Kesihatan Terhadap Kanser Serviks di Agensi Nuklear Malaysia, Jumaat.

BANGI: Cervisafe, kit ujian persampelan sendiri untuk meningkatkan pengesanan awal kanser serviks di kalangan wanita akan menembusi pasaran Afrika, India dan Asean, khususnya Indonesia tahun ini.

Pengarah Urusan LaDIY Healthcare Sdn Bhd, (LaDIY), syarikat pembekal teknologi Cervisafe, Romli Ishak berkata , produk hasil rekaan rakyat Malaysia itu merupakan kit ujian virus papilloma manusia (HPV)-DNA dan sitologi berasaskan cecair (LBC) dan telah menerima maklum balas positif dari negara seperti Indonesia dan Afrika.

Beliau berkata penyelidikan Cervisafe bermula pada 2011 dan mendapat pengesahan klinikal pada 2014 dan dikomersialkan pada 2015 juga mendapat pensijilan Pematuhan Eropah (CE) manakala permohonan Pentadbiran Ubat-Ubatan dan Makanan AS (FDA) telah dikemukakan.

"Dengan adanya pensijilan ini, tumpuan syarikat pada tahun ini akan merangka strategi dan menembusi pasaran Afria, India dan Asean, khususnya Indonesia, Kemboja, Thailand, dan Filipina.

"Di Indonesia 20,000 kes baharu kanser serviks dikesan setiap tahun. Setiap dua jam, seorang wanita maut akibat kanser serviks di negara itu.

"Saya juga telah bercakap dengan Kementerian Kesihatan Indonesia, mereka gembira jikga kita boleh memasuki pasaran negara itu," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Sebelum itu, beliau menghadiri program sosial inovasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) iaitu Program Kesedaran Kesihatan Terhadap Kanser Serviks Bersama-sama Alat Persampelan Sendiri, Cervisafe, Agensi Nuklear Malaysia di sini, Jumaat.

Romli berkata, LaDIY telah menandatangani perjanjian dengan Kumpulan Hospital Muhammadiyah, Indonesia yang mempunyai kira-kira 200 buah hospital di negara itu baru-baru ini dan pelancaran Cervisafe akan diadakan selepas Aidilfitri.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan Turki sedang menjalankan kajian terperinci berhubung Cervisafe di mana prosedur pensampelan yang bersifat lebih privasi, selamat dan mudah.

Romli berkata Cervisafe yang bernilai RM300, termasuk kit ujian, kos makmal dan pengangkutan dan ini akan menjimatkan masa menunggu di hospital atau klinik.

Beliau berkata, LaDIY yang bekerjasama dengan Mosti dan MDTC dalam Program Kesedaran Kesihatan Terhadap Kanser Serviks Bersama-sama Alat Persampelan Sendiri akan dilaksanakan di lapan lokasi.

Beliau berkata, program kesedaran telah mengedarkan kira-kira 300 kit ujian di tiga kawasan sejak tahun lepas, iaitu Tamparuli, Sabah, Balik Pulau, Pulau Pinang dan Sri Aman, Sarawak.

"Keputusan agak memeranjatkan di mana kira-kira 10 peratus adalah positif dijangkiti virus dan berisiko tinggi untuk kanser serviks. Namun, dengan adanya saringan awal Cervisafe ini, langkah rawatan sewajarnya boleh diambil.

"Kaedah ini diharap dapat meningkatkan pengesanan kanser serviks di peringkat awal dan seterusnya mengurangkan kadar kematian akibat kanser serviks," katanya.

Syarikat LaDIY merupakan sebuah syarikat pemula niaga yang menerima Dana Penyelidikan dan Pembangunan Komersilisasi yang diuruskan MTDC. Dengan bantuan CRDF, syarikat itu telah berjaya mengkomersialkan Cervisafe.-- Bernama



Cervisafe

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain