suria

PKNS Lancar Projek Bandar Pintar Pertama - Selangor Cyber Valley

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) buat julung kalinya melancarkan projek pembangunan terbaharu berkonsepkan bandar pintar, Selangor Cyber Valley (SCV), berkeluasan 526 hektar berhampiran Cyberjaya, dekat sini.

Acara pelancaran berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor yang juga Presiden PKNS, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri anjuran perbadanan itu di sini.

SCV merupakan pembangunan bercampur merangkumi kediaman, taman industri, pusat komersial dan institusi pendidikan, dilengkapi saluran rangkaian kabel gentian optik berkelajuan tinggi selain peranti pengesanan alam sekitar bagi tujuan indikasi kualiti udara selain kemudahan awam.

Projek bandar pintar yang mula dibangunkan pada 2006 dengan nama asalnya Taman Sains Selangor II, kini 20 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Noraida Mohd Yusof berkata projek dengan nilai pembangunan kasar RM16.9 bilion itu dilihat bakal menjadi perintis kepada konsep bandar pintar dengan kemudahan Internet segala-galanya, yang akan dibangunkan perbadanan tersebut.

Menurut beliau projek pembangunan SCV itu bakal menerapkan lapan elemen bandar pintar iaitu bandar selamat, mesra perniagaan, bandar efisyen, bandar pendidikan, bandar hijau, bandar inovasi, bandar komuniti pintar dan premis pintar.

"PKNS akan membangunkan elemen bandar pintar ini secara berfasa sebelum  dikembangkan untuk keseluruhan bandar.

"Bandar pintar ini dirangka dengan menekankan aspek rangkaian perhubungan yang lebih luas di samping meningkatkan kadar penyediaan tenaga, air dan sistem pengurusan sisa," katanya dalam ucapan pada perhimpunan berkenaan.

Beliau berkata pembangunan fasa satu seluas 25 kilometer persegi, akan dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) berprestasi tinggi untuk keselamatan, selain lampu jalan LED dan lampu trafik pintar yang kesemuanya dikawal selia oleh pusat kawalan bersepadu.

Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya di kawasan tersebut juga meletakkan SCV sebagai sebuah bandar terancang dilengkapi perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan sistem e-perkhidmatan bagi hab kediaman dan komersial yang mencerminkan gaya hidup moden.

Dalam pada itu, Noraida berkata sebagai sebuah syarikat yang berpengalaman 53 tahun dalam sektor hartanah, PKNS telah membina 159,956 unit pelbagai jenis kediaman merangkumi 99,351 projek kos rendah dan sederhana manakala 60,605 projek kos tinggi.

Menyokong aspirasi kerajaan Selangor memenuhi keperluan rakyat, Noraida berkata PKNS turut membina 1,675 unit rumah mampu milik di beberapa kawasan antaranya di Bukit Botak Selayang; Bandar Baru Bangi; Antara Gapi, Serendah; dan Kota Puteri, Ijok.

Beliau berkata bagi pembinaan rumah mampu milik itu, PKNS menanggung kos subsidi sebanyak RM20,000 hingga RM30,000 seunit dan kesemuanya dapat direalisasikan menerusi keuntungan yang dijana daripada projek-projek ekonomi berharga tinggi lain.-- Bernama


PKNS, Selangor Cyber Valley

Artikel Lain