suria

Tarik Lebih Banyak Pelaburan Solar - MIDA

GAMBAR HIASAN

GEORGE TOWN: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mahu menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor pembuatan solar memandangkan Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam bidang itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Azman Mahmud berkata MIDA mahu menarik lebih banyak penyertaan daripada syarikat, sama ada untuk pelaburan baharu atau kepelbagaian aktiviti.

"Sektor perkilangan solar adalah sangat sofistikated dan sudah banyak berubah berbanding lima tahun lepas, kerana ia menuntut kualiti, kecekapan dan teknologi.

"Malaysia telah membangunkan infrastruktur yang betul, daripada semikonduktor sehingga kepada persekitaran yang kondusif bagi industri solar.

"Sekarang kami telah bersedia untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam industri solar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Solar  Antarabangsa PV Celltech 2017 selama dua hari di sini yang dianjurkan bersama  MIDA dan PV Tech Solar Media Ltd dari London.

Azman berkata Malaysia berada pada kedudukan nombor tiga di dunia dalam industri pembuatan solar, China pada tempat pertama dan Taiwan di tempat kedua.

Terdahulu, dalam ucapannya, Azman berkata dalam tahun lepas sahaja, MIDA telah menarik tujuh projek pembuatan solar dan 83 projek tenaga yang boleh diperbaharui dalam industri terbabit, masing-masing bernilai RM1.77 bilion dan RM650 juta.

Katanya, pelaburan terbesar adalah daripada Xi'an LONGi Silicon Materials Corp, sebuah syarikat solar fotovoltan (PV) yang terkemuka dari China.

Syarikat itu telah melabur sebanyak RM1.06 bilion bagi mengasaskan kilang solar bersepadu untuk menghasilkan jongkong solar, modul dan sel wafer di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya di Kuching, Sarawak. 

Katanya, Malaysia telah juga berkembang dengan ketara dalam industri solar PV sejak sedekad lalu dan pada 2015, sebanyak 48 projek solar telah dilaksanakan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM28 bilion untuk menghasilkan wafer, sel, modul dan komponen sistem solar.

"Daripada ini, sebanyak 95.3 peratus adalah daripada pelaburan asing, dan selebihnya daripada sumber domestik. Projek-projek terbabit mencipta sejumlah 26,700 pekerjaan," katanya.

Azman berkata, kajian terbaharu MIDA menunjukkan bahawa pada 2016, nilai eksport dan aktiviti penyumberan tempatan oleh syarikat solar yang terkemuka dalam negara ini mencecah masing-masing sebanyak RM11.1 bilion dan RM1.42 bilion. - BERNAMA

MIDA, Pelaburan Solar

Artikel Lain