suria

Pinjaman PUNB Berjumlah RM40 Juta Untuk Bumiputera

KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan menyediakan sehingga 20 peratus, atau RM40 juta, daripada peruntukan pinjaman RM200 juta pada 2017, untuk membantu usahawan bumiputera dalam sektor kenderaan bermotor.

Pengerusi, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata bahagian peruntukan berkenaan boleh digunakan bagi tujujuan pemodenan bengkel terpilih serta menambah baik perkhidmatan yang diberikan mekanik bumiputera.

"Sekarang ini sukar untuk mendapatkan mekanik bumiputera dalam pasaran bidanga ini bagi membaiki kereta moden, canggih dan berprestasi tinggi seperti Mercedes, BMW dan Porsche.

"Bantuan itu akan membolehkan mekanik bumiputera yang berkebolehan untuk melengkapkan bengkel mereka dengan peralatan sesuai yang diperlukan bagi membaiki kereta seperti itu," katanya kepada pemberita di luar Forum Auto 2016 di sini, Khamis.

Kira-kira 300 usahawan kenderaan bumiputera menghadiri forum berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Dzulkifli Fadzilah, berkata peruntukan untuk sektor kenderaan pada 2017 mungkin akan meningkat  bergantung kepada keperluan.

"PUNB dan Institut Automotif Malaysia akan bekerjasama. Selain program pemodenan bengkel, usaha bagi latihan pembaikan lanjutan dan peningkatan modal insan juga mungkin akan diwujudkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain