suria

Duta Harap Hubungan Perdagangan Papua New Guinea-Malaysia Lebih Pesat

KUALA LUMPUR: Hubungan antara Papua New Guinea (PNG) dan Malaysia, yang wujud sejak negara itu mencapai kemerdekaan pada 16 Sept 1975, adalah kukuh, bagaimanapun, Pesuruhjaya Tingginya ke Malaysia, Peter Vincent, ingin menyaksikan pertumbuhan lebih pesat dalam hubungan perdagangan kedua-dua pihak.

"Secara peribadi saya berharap untuk meneruskan hubungan perdagangan serta  pelaburan dan pada masa sama, melihat peluang yang ada dari segi hubungan rakyat di kedua-dua negara," katanya ketika ditemui Bernama pada Sambutan Hari Kemerdekaan PNG ke-41 di sini baru-baru ini.

Beliau juga berkata terdapat banyak peluang untuk PNG di Malaysia seperti program latihan kepada rakyatnya dalam sektor awam dan swasta

Katanya, PNG boleh mendapat manfaat daripada hubungan yang semakin meningkat dengan Malaysia dan menambah bahawa hubungan rakyat kedua-dua negara juga bertambah erat.

Menyentuh kemasukan PNG, yang mempunyai penduduk lebih tujuh juta orang ke dalam Asean, Vincent berkata negara itu telah menjadi negara pemerhati selama lebih 30 tahun.

Katanya, PNG perlu melakukan beberapa perkara bagi memenuhi syarat sebelum diterima masuk ke dalam komuniti Asean.

Beliau menjelaskan bahawa meskipun PNG dan negara Asean sudah menjalin kerjasama yang rapat, masih terdapat keperluan untuk memperkukuh hubungan sedia ada.

Mengulas usaha mempromosi PNG ke Malaysia dan negara Asean lain, beliau berkata meskipun terdapat banyak peluang untuk membangunkan sektor pelancongan, cabaran terbesar ialah mengatasi kos yang tinggi.

Selain itu, beliau berkata tidak banyak perbezaan dari segi alam sekitar, iklim serta penduduk antara PNG dan negara di rantau Asean.

Justeru, buat masa ini, mempromosi destinasi pelancongan PNG ke Malaysia dan rantau Asean bukanlah satu keutamaan, kata Vincent yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Penggalakan Pelancongan PNG.

Beliau berkata PNG kini lebih memfokus kepada pelancong dari China dan Jepun yang ke PNG untuk menikmati "produk pengembaraan" seperti menyelam, memancing, aktiviti trekking dan memerhati burung.

Pada majlis itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan, yang mewakili Malaysia, serta pegawai kedutaan dan ekspatriat PNG disajikan beberapa masakan popular negara itu termasuk makanan laut seperti udang kara segar dan kopi, serta dihiburkan dengan persembahan oleh band dari PNG.

PNG, yang terkenal dengan keindahan pantai dan terumbu karangnya, terletak di bahagian timur Pulau New Guinea dan kira-kira 160 kilometer di utara Australia.

Bahagian barat pulau itu menempatkan Irian Jaya, yang merupakan sebuah wilayah Indonesia.

PNG memiliki bentuk muka bumi yang pelbagai, daripada banjaran gunung yang tinggi, lembah yang dalam serta sungai yang deras mengalir ke pedalaman dan dataran terbuka, hutan tropika serta paya teluk di kawasan pantai.

Artikel Lain