KWSP Akan Berikan Pulangan Baik Lepasi Kadar Inflasi - Niaga | mStar

KWSP Akan Berikan Pulangan Baik Lepasi Kadar Inflasi

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yakin akan terus memberikan kadar pulangan sebenar 2.0 peratus di atas kadar inflasi tahun ini walaupn ketidaktentuan dalam pasaran ekuiti, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Beliau berkata, sasaran utama 'inflasi campur 2.0', yang menentukan sumbangannya kepada pelabur, menyebabkan KWSP berprestasi lebih baik dalam tempoh lima hingga enam tahun lepas apabila ia mampu memberikan pulangan lebih tinggi iaitu 'inflasi campur 4.0'.

"Pada suku pertama tahun ini, prestasi pasaran ekuiti sangat mencabar bukan sahaja kepada KWSP tetapi juga mana-mana pengurus dana pelaburan di seluruh dunia berikutan ketidaktentuan tinggi dan hasil yang rendah.

"Oleh itu kami menjangka, dengan semua cabaran itu, untuk terus memberi tumpuan kepada 'inflasi campur 2.0' untuk memastikan kami boleh memberikan pertumbuhan sebenar kepada pelabur dan anggota kami untuk jangka masa yang panjang," katanya kepada pemberita selepas mengeluarkan Laporan Tahunan KWSP 2015 di sini, Selasa.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia menjangka inflasi akan tumbuh di antara 2.5 dan 3.5 peratus tahun ini.

Shahril berkata, dana persaraan itu merancang meningkatkan pelaburan domestik jangka panjangnya bagi mempelbagaikan portfolio, terutama 'aset inflasi' seperti utiliti, infrastruktur, lebuh raya dan tenaga.

Menurutnya, KWSP mempunyai liputan aset, sumbangan dan pendapatan domestik yang lebih daripada mencukupi untuk mendapatkan sebarang jenis pelaburan tempatan.

Beliau juga berkata, segmen pendapatan yang lebih meluas akan membolehkan KWSP mengurangkan kesan daripada persekitaran ekonomi global yang tidak menentu dan perubahan jangka pendek dalam pasaran.

"Pada 2015 pasaran global menyebelahi kita manakala pada 2014, pasaran domestik pula menyebelahi kita.

"Pada asasnya ia adalah untuk memastikan kita boleh mengharungi untuk jangka panjang melalui kitaran kemeruapan jangka pendek dalam sebarang pasaran atau kelas aset," tambahnya.

Pelaburan asing KWSP, yang merupakan 25 peratus daripada jumlah aset, menyumbang 48 peratus kepada pendapatan pelaburan kasar RM44.23 bilion yang dicatat tahun lepas.

Kumpulan itu setakat ini melabur kurang sedikit daripada 26 peratus daripada had global yang ditetapkan kerajaan untuk pelaburan asing.

Sementara itu, Shahril berkata, KWSP tidak mempunyai pendedahan penting dalam penerbitan sukuk RM5 bilion 1Malaysia Development Bhd kerana dana itu hanya memegang kira-kira empat peratus atau RM200 juta pelaburan daripada keseluruhan penerbitan.

Menurutnya, belum ada keputusan mengenai pelaburan KWSP itu kerana pemegang amanah tidak menganggap berlakunya kemungkiran silang dalam penerbitan itu setakat ini.-- Bernama


KWSP , Shahril Ridza Ridzuan , Bank Negara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Renault Zoe Kini Di Pasaran Malaysia

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

Artikel Lain