suria

Syarikat Malaysia Digesa Terokai Potensi Pasaran Bulgaria

Susila Devi

KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia perlu meneroka potensi pasaran yang besar di Bulgaria terutamanya dalam segmen teknologi, farmaseutikal, jentera dan peralatan elektronik, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

"Dengan jumlah penduduk 7.26 juta, pasaran Bulgaria tidak boleh diabaikan oleh syarikat Malaysia. Pembaharuan ekonomi di negara itu terbukti menjadi enjin pertumbuhan yang sebenar," kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Datuk Susila Devi kepada Bernama.

Bercakap di luar pembentangan Menteri Luar Bulgaria Daniel Mitov mengenai peluang perniagaan dan perdagangan negara Eropah Timur di sini baru-baru ini, Susila berkata perdagangan antara Malaysia dan Bulgaria meningkat kepada 20 peratus setahun daripada US$30.9 juta pada 2006 kepada US$92.2 juta pada 2015.

Daripada jumlah itu, eksport bernilai US$57.4 juta dan import US$34.8 juta, katanya.

"Nilai perdagangan ini kecil, dan dalam usaha untuk meningkatkannya, Malaysia dan Bulgaria perlu mengenal pasti bidang perdagangan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara terutamanya dalam sektor yang kita mempunyai kekuatan seperti produk elektrik dan elektronik, produk minyak sawit, perkhidmatan penjagaan kesihatan, pembangunan infrastruktur, perkhidmatan profesional dan perkhidmatan minyak dan gas," katanya.

Eksport utama Malaysia ke Bulgaria termasuklah produk elektrik dan elektronik, produk minyak sawit dan berasaskan sawit, optik dan peralatan saintifik, jentera, perkakasan dan peralatan, dan kelengkapan pengangkutan.

Import Malaysia dari Bulgaria adalah produk elektrik dan elektronik; jentera; perkakasan dan peralatan, kimia dan bahan kimia, kertas dan produk pulpa; dan pembuatan logam.

Beliau berkata Bulgaria turut menyediakan akses ke negara-negara Eropah yang lain yang semakin berkembang seperti Romania, Belarus, Republik Czech dan Hungary.

"Syarikat Malaysia perlu melihat ini sebagai peluang untuk meluaskan pasaran mereka, dan bekerjasama dengan syarikat Bulgaria akan dapat membantu mereka meneroka pasaran Eropah Timur yang lain yang kos pengeluaran dan buruh adalah rendah.

"Eksport kami ke negara-negara Eropah Timur hanya lapan peratus daripada jumlah eksport berbanding Singapura (14.6 peratus), China (10.5 peratus) dan Amerika Syarikat (10.2 peratus)," katanya.

Sementara itu, Mitov berkata Bulgaria menawarkan pelbagai insentif kepada pelabur asing, menjelaskan bahawa ia mempunyai satu daripada rejim cukai yang paling baik dan cukai pendapatan korporat paling rendah sebanyak 10 peratus di Eropah, selain sistem pentadbiran cukai yang dipermudahkan.

"Kami bukan sahaja menggalakkan pelaburan asing tetapi mempunyai struktur yang sedia ada untuk memudahkan keseluruhan proses pelaburan, meningkatkan ketelusan dan memastikan kesamarataan layanan dengan pelabur tempatan.

"Risiko mata wang adalah rendah dan kami mempunyai satu daripada paras defisit bajet paling rendah di seluruh Kesatuan Eropah, memastikan pelabur boleh memasuki pasaran dengan perspektif jangka panjang dan boleh dijangka," katanya.

Mitov berkata sektor teknologi maklumat, pelancongan, pertanian dan farmaseutikal Bulgaria agak mantap.

"Saya fikir jika kita meneruskan dengan bidang-bidang tersebut untuk pelaburan antara Malaysia dan Bulgaria, ia akan membantu meningkatkan hubungan ekonomi kita.

"Sebagai pintu masuk ke EU, kami menawarkan kos akses yang terendah ke pasarannya yang lebih 500 juta pengguna," katanya.

Mitov berkata keadaan ekonomi semasa hakikatnya mewujudkan peluang kepada kedua-dua negara.

"Kita tidak perlu terlalu dipengaruhi oleh keadaan sedemikian, kita perlu mempunyai strategi seperti menumpukan kepada bidang tertentu yang kerjasama akan berkembang walaupun tanpa mengambil kira turun naik harga minyak dan gas.

"Sasaran akan bergantung kepada usahawan daripada kedua-dua pihak -- mereka perlu menganggarkan jenis pelaburan dan kos -- tetapi kami mempunyai rangka kerja perniagaan undang-undang untuk mereka, supaya mereka berasa selamat apabila melabur di negara lain," kata Mitov.

Artikel Lain