suria

Volvo Trucks Buka Premis Pengedaran Terbesar

PELABUHAN KLANG: Volvo Trucks Malaysia membuka pusat is pengedaran terbesarnya di Pelabuhan Klang, yang mampu menampung perkhidmatan servis dan baik pulih sehingga 24 trak sehari.

Syarikat trak Sweden itu berkata pelaburan berkenaan sangat penting dalam pembangunan seterusnya di Malaysia, yang membuktikan usaha berterusan syarikat itu dalam meluaskan rangkaian selain khidmat servis.

Pengarah Urusan Volvo Malaysia Mats Nilsson berkata pusat pengedaran bernilai RM25 juta itu yang dibangunkan di kawasan seluas 35,850 kaki persegi, mempunyai 20 stesen kerja yang mampu menampung servis dan baik pulih kenderaan trak Volvo dan bas yang beroperasi di Pelabuhan Klang.

"Lokasi pusat pengedaran utama kami di Pelabuhan Klang sangat strategik memandangkan ia terletak dalam kawasan aliran utama pengangkutan. Terdapat sekurang-kurangnya 2,000 trak Volvo di kawasan Pelabuhan Klang.

"Oleh itu, pusat berkenaan meningkatkan capaian dan kesediaan kami untuk memberi khidmat servis yang mereka perlukan," katanya pada sidang media sebelum pelancaran pusat itu oleh Duta Besar Sweden ke Malaysia Bengt Carlsson, di  Taman Perindustrian Bandar Sultan Suleiman dekat sini pada malam Selasa.

Nilsson berkata pusat baharu itu (Volvo mempunyai 12 pusat di Malaysia) dibangunkan berdasarkan reka bentuk bengkel moden dengan ruang dua petak bagi membolehkan kenderaan masuk dan keluar dengan mudah.

Beliau berkata menerusi pembukaan pusat berkenaan, Volvo menyasarkan untuk mewujudkan liputan perniagaan yang lebih baik dengan mengurangkan purata jarak perjalanan antara sesuatu pusat dalam tempoh tiga jam, selain menyelaraskan servis mengikut standard operasi peniaga global syarikat berkenaan.

Nilsson berkata Volvo menikmati pertumbuhan yang stabil sejak memulakan operasi di Malaysia 50 tahun lepas, dengan negara ini terus menjadi pasaran yang sangat penting bagi perniagaan trak syarikat itu.

Volvo

Artikel Lain