suria

Boeing 737 Max 8 Diperkenalkan

KUALA LUMPUR: Boeing meraikan pemasangan terakhir pesawat pertama 737 MAX 8 di Renton, Washington pada Selasa.

Pesawat satu lorong terbaharu itu akan memberikan penjimatan bahan api sebanyak 20 peratus berbanding model Next-Generation 737 yang lama.

Boeing dalam satu kenyataan berkata pesawat tersebut akan mempunyai kos operasi yang paling minimum iaitu sebanyak lapan peratus untuk setiap kerusi lebih rendah daripada pesawat A320neo.

"737 MAX mencerminkan kewujudan legasi yang luar biasa oleh pasukan kami yang mana telah membawa 737 ke peringkat prestasi seterusnya," kata Naib Presiden dan Pengurus Besar, 737 MAX, Boeing Commercial Airplanes, Keith Leverkuhn.

Pesawat itu diluncurkan dari kilang Renton untuk dicat pada 30 Nov lepas, ketepatan tarikh itu menunjukkan pembangunan MAX yang dibuat lebih kurang empat tahun lepas adalah mengikuti jadual.

Dinamakan 'Spirit of Renton', ia akan menjalani persiapan sebelum penerbangan di dalam kilang dan akan dibawa ke padang Renton untuk melalui ujian kesediaan penerbangan sebelum membuat penerbangan pertamanya pada awal 2016.

Pesawat kedua dan ketiga 737 MAX 8 masih di peringkat pembuatan terakhir dan model keempat sedang disiapkan, pemasangan 737 MAX adalah mengikut jadual dan pelanggan pertama, Southwest Airlines akan menerimanya dalam suku ketiga 2017.

737 MAX menggabungkan teknologi terkini daripada enjin CFM International LEAP-1B, rekaan sayap lawi menggunakan teknologi terbaharu Boeing dan beberapa lagi penambahbaikan bagi memberikan kecekapan tertinggi, kebolehpercayaan dan keselesaan penumpang dalam pasaran pesawat satu lorong.

737 MAX 8 merupakan anggota pertama dalam keluarga terbaharu Boeing bagi pesawat satu lorong iaitu 737 MAX 7, MAX 8, MAX 200 dan MAX 9 untuk memulakan pengeluaran.

Keluarga 737 MAX mempunyai hampir 3,000 tempahan daripada 60 pelanggan di seluruh dunia, kata kenyataan itu.

Boeing Max 8

Artikel Berikut

Artikel Lain