suria

Malaysia-Indonesia Muktamadkan MoU Penubuhan CPOPC

PUTRAJAYA: Menteri Malaysia dan Indonesia bertemu di sini pada Khamis bagi memutamadkan memorandum persefahaman (MoU) bagi penubuhan majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengetuai delegasi Malaysia pada Mesyuarat Peringkat Menteri mengenai penubuhan CPOPC, manakala Indonesia diketuai Menteri Koordinasi bagi Hal Ehwal Maritim Rizal Ramli.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, kedua-dua negara akan menjadi negara pengasas majlis berkenaan.

"Keanggotaan majlis ini akan dibuka kepada negara penanam kelapa sawit yang lain," katanya.

Malaysia dan Indonesia bersetuji menubuhkan CPOPC semasa pertemuan antara Presiden Indonesia Joko Widodo dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak di Bogor, Indonesia pada 11 Oktober lepas.

Malaysia dan Indonesia kini menyumbang 85 peratus daripada pengeluaran minyak sawit dunia. Negara lain yang menanam sawait termasuk Thailand, Papua New Guinea, Nigeria, Colombia dan Liberia.

Menurut kenyataan itu, skop CPOCP termasuk mempromosi perundingan pembangunan industri minyak sawit dalam kalangan pemegang kepentingan di negara penanam sawit; meningkatkan kebajikan penanam kecil sawit; dan membangunkan dan mewujudkan rangka kerja global mengenai prinsip minyak sawit mampan.

Ia juga termasuk menggalakkan kerjasama dan pelaburan dalam membangunkan zon industri minyak sawit mampan dan mesra alam, termasuk zon ekonomi hijau; menangani halangan dagangan minyak sawit; bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan serta latihan; selain melaksanakan aktiviti dan fungsi yang dikehendaki untuk kepentingan industri minyak sawit.-- Bernama

minyak sawit, CPOPC

Artikel Lain