suria

KTMB Sasar 20,000 Penumpang Guna Ekspres Peninsular

JOHOR BAHARU: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyasarkan seramai 20,000 penumpang menggunakan perkhidmatan Tren Ekspres Peninsular Johor Baharu-Hat Yai, sehingga penghujung tahun ini.

Pengurus Kanan Pemasaran KTMB Antara Bandar, Mohd Noordin Kimi berkata sejak diperkenal 1 Sept lepas, jumlah penumpang tren itu menunjukkan peningkatan dengan purata 300 orang sehari.

"Sasaran bagi perkhidmatan tren ini adalah pelancong dari dalam dan luar negara terutama rakyat Singapura serta Indonesia.

"Kini mereka mempunyai pilihan pengangkutan untuk pergi ke Hat Yai, Thailand menggunakan tren itu sekaligus menikmati keindahan alam semula jadi di sepanjang laluan," katanya.

Mohd Noordin berkata demikian kepada 30 pemberita anggota Kelab Media Johor yang mengikuti Misi Explore Johor-Jelajah Media Johor ke Hat Yai dan Songkhla, Thailand menggunakan perkhidmatan Tren Ekspres Peninsular, baru-baru ini.

Beliau berkata Tren Ekspres Peninsular mampu menampung jumlah penumpang antara 600 hingga 1,000 orang di dalam 10 gerabak yang selesa dan dilengkapi tempat tidur.

Katanya terdapat sebuah koc santai yang boleh disewa oleh pelanggan untuk menjalankan program tertentu atau majlis istimewa yang dilengkapi kerusi, meja sisi, televisyen LCD, perpustakaan mini serta sistem karaoke.

Menurut Mohd Noordin, Tren Ekspres Peninsular mengambil nama daripada perkataan asal Semenanjung Malaysia kerana perkhidmatan tren itu merentasi negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia.

Tren Ekspres Peninsular menawarkan perkhidmatan dua kali sehari iaitu bermula di Stesen JB Sentral pada 5 petang dan tiba di Stesen Hat Yai pada pukul 11.20 pagi (waktu Thailand) keesokan harinya, katanya.

"Dari Stesen Hat Yai pula, perjalanan bermula 4 petang waktu Thailand dan dijadual tiba di Stesen JB Sentral pada pukul 11.55 pagi keesokan harinya," katanya dan menambah tren tersebut akan melalui 34 buah stesen keretapi kecuali Stesen Bukit Mertajam dan Stesen Butterworth.

Ekspres Peninsular, KTMB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain