suria

Operasi Penerbangan Tambang Rendah Ke Terminal 1 KKIA Mulai 1 November

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan pindahkan keseluruhan operasi perkhidmatan penerbangan tambang rendah dari Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Terminal 1 berkuatkuasa 1 November ini.

MAHB memberitahu, bahawa ia telah berhubung dengan syarikat penerbangan dan agensi kerajaan yang berkaitan seperti AirAsia Bhd, Indonesia AirAsia, AirAsia Zest, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen berhubung dengan arahan tersebut, yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan.

Kesemua agensi kerajaan yang berkhidmat di Terminal 2 akan menamatkan perkhidmatan mereka mulai 1 November ini.

"MAHB akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan terbabit serta pihak-pihak berkepentingan untuk memudahkan urusan pemindahan ke Terminal 1, KKIA," kata operator lapangan terbang itu dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Semasa pelancaran Terminal 1 pada 16 Sept lepas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, diumumkan bahawa terminal berharga RM1.7 bilion itu boleh memuatkan seramai sembilan juta penumpang.

"Selain kemudahan terbaik yang disediakan di Terminal 1, MAHB memberi komitmen sebanyak RM10 juta kepada Sabah Tourism untuk menyokong pembangunan industri pelancongan di Sabah," katanya.-- Bernama

KKIA, MAHB

Artikel Lain