suria

Fima Corp Sasar Pendapatan Lebih Tinggi Daripada Segmen Perladangan

KUALA LUMPUR: Fima Corporation Bhd menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan segmen perladangan ke dalam keuntungan kumpulan kepada 50 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang, berbanding 40 peratus sekarang.

Pengarah Urusan kumpulan, Roslan Hamir berkata, pada masa ini syarikat memiliki tanah bertanam seluas 6,500 hektar di Indonesia selain hampir 2,800 hektar tanah boleh ditanam di Malaysia dengan 200 hektar telahpun ditanam.

Sebanyak 600 hektar lagi tanah boleh ditanam di Malaysia dijangka ditanam sepenuhnya menjelang Jun tahun depan manakala baki 2,000 hektar, termasuk tanah yang baru dibeli, dijangka ditanam dalam tempoh tiga tahun akan datang, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan, di sini, Selasa.

Roslan berkata, pihak syarikat juga sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan bagi memulakan penanaman baki 5,500 hektar tanah di Indonesia.

Untuk suku pertama berakhir 30 Jun 2015, keuntungan sebelum cukai kumpulan meningkat 5.7 peratus kepada RM23.01 juta manakala pendapatan melonjak 15.3 peratus kepada RM108.44 juta.

Sementara itu, Roslan berkata kelembapan ringgit tidak begitu memberi kesan kepada perniagaan kumpulan disebabkan keseimbangan keuntungan antara dua industri yang ia sertai.

"Bagi segmen perladangan, kelembapan ringgit memberi manfaat kepada kami kerana kami menjual dalam dolar AS, sekali gus menerima keuntungan lebih besar dari segi ringgit.

"Bagi segmen pencetakan keselamatan pula ada sedikit kesan kerana kebanyakan input kami dari negara asing dan didenominasi dalam dolar AS serta euro (dari segi mata wang perdagangan)," katanya.

Beliau berkata impak itu hanya pada elemen kos. -- Bernama

Fima Corp, Roslan Hamir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain