suria

Malindo Air Mulakan Penerbangan KL-Amritsar Pada 25 Oktober

NEW DELHI: Syarikat penerbangan Malaysia, Malindo Air, akan melancarkan penerbangan antara Kuala Lumpur dan Amritsar di Punjab, India, pada 25 Oktober.

Menurut kenyataan Malindo Air, syarikat penerbangan tambang murah itu akan mengadakan penerbangan tiga kali seminggu menggunakan pesawat Boeing 737-900ER bagi laluan berkenaan.

"Penerbangan sejauh 4,268km atau bersamaan dengan 5 jam 20 minit ini menandakan destinasi penerbangan paling jauh bagi syarikat penerbangan ini dari hab utamanya di Kuala Lumpur," menurut kenyataan itu.

Pada masa ini, rakyat Malaysia yang ingin ke Punjab perlu menaiki penerbangan ke New Delhi dan meneruskan perjalanan sama ada dengan kereta atau kereta api antara lima hingga lapan jam ke beberapa destinasi di negeri ini.

Kenyataan Malindo Air turut menyebut tambang promosi bagi Kelas Perniagaan bermula dari RM1,309 sehala manakala tambang Kelas Ekonomi pula bermula dari RM759 sehala, termasuk minuman dan sajian ringan, hiburan dalam penerbangan dan peruntukan bagasi percuma.

Dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan itu, Chandran Rama Muthy berkata" "Kami berbesar hati untuk melebarkan sayap ke utara India menuju Amritsar." 

"Rakyat Malaysia dan penumpang transit dari negara jiran Singapura kini boleh mengharapkan penerbangan yang lancar ke Amritsar menerusi Kuala Lumpur sama ada bagi tujuan perniagaan, santai atau keagamaan," katanya.-- Bernama


Malindo Air, Amritsar

Artikel Lain