MASYARAKAT gempar susulan tularnya satu hantaran di media sosial yang mendakwa seorang jemaah wanita berusia lingkungan 50-an dicabul dan dirogol di dalam bilik mayat sebuah masjid di daerah Melaka Tengah, Melaka.Apa yang mengejutkan, hantaran tular itu turut mendedahkan bahawa individu terlibat yang dipercayai seorang siak telah ditukar serta-merta oleh pihak pengurusan masjid. "Dengar cerita ada kes rogol atau cabul jemaah perempuan dalam bilik mayat, siak lama masjid."Imam tak bagi perempuan report, terus tukar siak baru sebab nak selamatkan siak lama... betul ke?" demikian hantaran tular berkenaan.Dakwaan tersebut bagaimanapun dinafikan pasukan polis selepas melakukan siasatan menyeluruh.Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil siasatan lanjut termasuk keterangan yang diambil mendapati tiada sebarang elemen paksaan, sekali gus gagal membuktikan wujudnya unsur jenayah seperti yang ditularkan."Berkenaan isu tular dan menjadi bualan masyarakat setempat membabitkan kes cabul serta rogol yang berlaku di dalam bilik jenazah di sebuah masjid, pihak polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengadu."Laporan dibuat oleh pengadu pada pukul 9.12 pagi Khamis, mendakwa menjadi mangsa seksual seorang lelaki berusia 48 tahun dan kejadian itu dikatakan telah berlaku berulang kali."Siasatan menyeluruh yang dijalankan bagaimanapun mendapati dakwaan berhubung jenayah cabul dan rogol tersebut tidak berlaku," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Mengulas lanjut, Dzulkhairi menjelaskan bahawa kes tersebut diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi membolehkan tindakan lanjut dilakukan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman mengesahkan seorang siak di masjid terbabit telah meletakkan jawatannya pada Mei lalu.Namun katanya, pihak masjid tidak dapat mengesahkan punca peletakan jawatan tersebut.