suria

Petron Sasar Pertumbuhan Jualan Bahan Api Baharu 5 Hingga 10 Peratus

PULAU PINANG: Petron Malaysia Refining and Marketing Bhd merancang untuk meningkatkan jualan melalui pengenalan produk baharu, petrol Blaze 97Euro-4M.

Kami berharap dengan pelancaran produk baharu itu bulan ini, kami akan berupaya mencatat pertumbuhan jualan di antara lima hingga 10 peratus tahun ini (untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015)," kata Pengurus Jualan Runcitnya, Mohd Shaibi Ahmad Hijazi ketika perjalanan media dua hari satu malam Petron Malaysia dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.

Menurutnya, syarikat juga menyasarkan pencapaian lebih baik pada masa depan, khususnya sekarang selepas ia kembali mencatat untung.

Pada enam bulan pertama tahun ini, keuntungan bersih Petron berada pada RM130.19 juta berbanding kerugian bersih RM8.23 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Pendapatan berjumlah RM4.1 bilion manakala volum jualan meningkat kepada 15.09 juta tong berbanding 14.96 juta tong pada 2014 dengan jualan kukuh daripada sektor komersil serta kenaikan volum petrol.

Mohd Shaibi berkata, petrol baharu Blaze 97 Euro-4M adalah bahan api berprestasi tinggi dengan formula 'aksi tiga kali ganda' yang menjana lebih kuasa, lebih perbatuan dan memberi perlindungan lebih baik kepada enjin.

Pelancaran produk baharu ini juga bagi memenuhi janji syarikat kepada pelanggan Malaysia untuk menawarkan bahan api yang bermanfaat kepada mereka.

"Blaze 97 Euro-4M adalah bahan api beroktana tinggi yang mengandungi bahan tambahan yang memberikan pembakaran lebih cekap untuk prestasi enjin yang optimum," tambahnya.

Selain media, Petron juga menjemput pemenang peraduan untuk mengalami kehebatan produk itu ketika perjalanan di jalan raya, yang dianjurkan dengan kerjasama Pelancongan Malaysia.

Perjalanan itu membuat persinggahan di beberapa destinasi di Perak dan Pulau Pinang.

Pada suku kedua berakhir 30 Jun 2015, Petron Malaysia mencatat keuntungan sebelum cukai RM73.38 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM1.51 juta dalam tempoh yang sama setahun lalu.

Pendapatan merosot kepada RM2.3 bilion berbanding RM3 bilion sebelum ini disebabkan harga bahan api yang lebih rendah.-- Bernama



Petron, Mohd Shaibi Ahmad Hijazi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain