suria

BSN Perkukuh Urusan Perbankan Dengan Orang Asli

PETALING JAYA: Bank Simpanan Nasional (BSN) meneruskan  usahanya untuk memperkukuhkan agenda rangkuman kewangan melalui program bersama masyarakat Orang Asli di Tanah Abang, Mersing baru-baru ini.

BSN dalam satu kenyataan berkata, antara aktiviti yang diadakan sempena program itu adalah beramah-mesra bersama masyarakat setempat, penerangan lebih lanjut mengenai perkhidmatan Ejen Berdaftar (EB) BSN dan produk Pembiayaan Mikro BSN, pertandingan mewarna dan pembukaan kaunter informasi.

"BSN turut membuka kaunter online yang membolehkan orang ramai  menikmati kemudahan pembukaan akaun, pembelian SSP, pembayaran bil serta beberapa khidmat perbankan yang lain," jelas kenyataan itu.

Yang turut hadir pada program itu ialah Pentadbir Tanah Daerah Mersing, Nasri Md Ali; Timbalan Ketua Eksekutif, Perbankan Runcit BSN Datuk Yunos Abd Ghani dan Pengarah Jabatan Kewangan Pembangunan dan Enterpris, Bank Negara Malaysia (BNM), Marina Kahar.

Sementara itu, Yunos berkata, beliau berbangga kerana produk EB BSN kerana dapat membantu masyarakat terutamanya yang berada di luar bandar.

"Sebagai contoh, khidmat perbankan yang berhampiran bagi masyarakat di Kampung Orang Asli Tanah Abang ini adalah di Bandar Mersing yang memerlukan perjalanan selama 40 minit.

"Kini dengan perkhidmatan EB BSN yang telah didaftarkan di salah sebuah kedai runcit di sini, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan perbankan seperti yang ditawarkan di bank. Tambahan pula, dengan adanya perkhidmatan Pembukaan Akaun Giro/Giro-i di premis EB.

"Saya percaya matlamat kerajaan untuk mencapai taraf negara maju akan dikecapi melalui kemudahan ini," ujar beliau.


BSN, Orang Asli, Mersing

Artikel Lain