suria

Pelabur Jepun Yakin AEC Akan Membuahkan Hasil

KUALA LUMPUR: Pelabur Jepun yakin Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) akan mula membuahkan hasil dalam tempoh satu hingga dua tahun dan  mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan di rantau ini.

Pengarah Urusan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) Kuala Lumpur Akira Kajita berkata berikutan wujud kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi China, kebanyakan syarikat Jepun telah mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat'.

"Kami berharap trend positif akan kembali pada landasan yang betul apabila para pemimpin AEC memeterai penubuhan AEC November ini.

"Ia akan menyediakan dan menyelaraskan iklim pelaburan di rantau ini terutama apabila kesemua negara anggota kini mempunyai kaedah dan peraturan berbeza ke atas pelabur asing," katanya kepada Bernama di luar Mesyuarat ke-47 Menteri-menteri Ekonomi ASEAN dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di sini.

Beliau berkata integrasi standard, pemansuhan halangan bukan tarif selain  liberalisasi ke atas sektor perkhidmatan, mampu memberi rangsangan seterusnya kepada perdagangan dan pelaburan Jepun-ASEAN.

Kajita juga berkata peranan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga merupakan pemangkin bagi pertumbuhan blok ASEAN.

Beliau berkata tahun lepas, JETRO membantu 1,500 PKS Jepun memulakan  perniagaan dengan lebih separuh daripadanya menunjukkan minat ke atas ASEAN yang mempunyai lebih 600 juta penduduk.

Di Malaysia sahaja, katanya kira-kira 1,400 syarikat Jepun melabur di negara ini, dengan lebih separuh membabitkan PKS.

Beliau juga mengambil maklum mengenai cadangan oleh Persekutuan Dewan Perniagaan dan Industri Jepun di ASEAN (FJCCIA) untuk membentuk sebuah badan rujukan penarafan kredit di rantau ini, yang boleh menilai kelayakan kredit dan prestasi akaun setiap syarikat di seluruh rantau ini.

Beliau berkata kini syarikat Jepun sukar untuk menilai syarikat A dari Malaysia dan syarikat B dari Indonesia, memandangkan mereka mempunyai peraturan kewangan dan perakaunan sendiri.

Oleh itu sukar untuk membuat penilaian perniagaan apabila membuat perbandingan ke atas syarikat dari negara berbeza, kata Kajita.

"Kami mahu ASEAN melaksanakan langkah seragam dalam kaedah menilai syarikat-syarikat ini. satu rujukan kredit bagi membolehkan syarikat menilai potensi dan prestasi masing-masing dengan lebih baik," katanya.

Pelaburan Jepun di ASEAN semakin meningkat, mencatat lebih US$20 bilion pada 2013 dan 2014, menyumbang tiga kali lebih banyak berbanding China pada tahun lepas.

Menurut saham pelaburan langsung asing (FDI) dalam setiap ekonomi yang dilaporkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Jepun ialah pelabur terbesar di Thailand dan Vietnam dan kedua terbesar di Malaysia dan Filipina.

Jepun, Asean, AEC

Artikel Lain